PENYOKONG JDT sedang menyiapkan kain rentang yang akan di bawa ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu. -FOTO Ihsan KPBJDT.
PENYOKONG JDT sedang menyiapkan kain rentang yang akan di bawa ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu. -FOTO Ihsan KPBJDT.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Bahang aksi final Piala FA membabitkan pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini tampak semakin terasa apabila kedua-kedua penyokong semakin ghairah membuat persiapan.

Tidak terkecuali pastinya Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT) yang sudah bersedia untuk menyerbu Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberi semangat buat barisan pemain skuad kendalian Hector Bidoglio untuk membawa pulang Piala FA selepas kali terakhir memenangi piala berkenaan pada musim 2016.

Timbalan Presiden KPBJDT, Mohd Fadzli Sapiee berkata, sejumlah 56 buah bas akan bergerak ke Bukit Jalil dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang membabitkan 12 buah bas rombongan dari KPBJDT, sembilan buah bas dari Penyokong 'Gate C' manakala penyokong Boys of Straits (Bos) akan hadir dengan kekuatan 35 buah bas.

"Kami membuat keputusan untuk bergerak lebih awal bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan yang dijangka berlaku di persekitaran Bukit Jalil kerana saya difahamkan di stadium tertutup bersebelahan Stadium Nasional akan ada konsert.

"Kami turun dengan semangat [Kita Bersaudara' jadi antara penyokong JDT dan Terengganu sememangnya semangat itu sudah lama dipupuk malah ketika kami bertandang ke Stadium Sultan Mizan, Gong Badak menyaksikan JDT menentang Terengganu FC, mereka menyambut baik kedatangan kami," katanya.

Katanya, pada musim lalu, penyokong hadir untuk final Piala Malaysia tapi dengan kapasiti terhad akibat penularan Covid-19 dan agak kecewa selepas JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC yang muncul juara piala edisi ke-100 itu, namun itu aksi final Piala FA pasti meriah dengan kehadiran penyokong yang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 2:41 PM