Kuala Lumpur: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) merekodkan peningkatan empat peratus dalam perolehan dari tahun ke tahun berjumlah RM2.7 billion untuk tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2016.

Bagi tempoh itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat tujuh peratus kepada RM962 juta manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 15 peratus kepada RM306 juta membawa ke Aliran Tunai Bebas (FCF) kepada RM589 juta.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, dalam persekitaran operasi yang mencabar ditambah pula dengan sentimen pengguna, kumpulan Astro terus mencatatkan strategi pertumbuhan positif untuk menjana pembentukan nilai pemegang saham.

“Pihak lembaga pengarah mengumumkan dividen interim kedua bernilai 2.75 sen sesaham iaitu 22 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata, pihaknya komited mewujudkan lebih nilai dan pilihan kepada pelanggan melalui kandungan, produk dan perkhidmatan menarik serta menawarkan pengalaman baru menerusi platform yang ada.

Beliau berkata, dalam tempoh separuh pertama tahun kewangan 2016, jumlah pelanggan meningkat 426,000 untuk perkhidmatan televisyen berbayar didorong oleh pertambahan jumlah pelanggan perkhidmatan NJOI yang melonjak 58 peratus dari tahun ke tahun menjadikannya 1.07 juta.

“Kami berazam untuk mendorong pemilikan dekoder bersambung dan Astro on the Go dari 181,000 sekarang kepada 500,000 pada akhir tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 6:28 AM