FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) berdepan operasi mencabar terutamanya di sebalik fasa penutupan atau 'lockdown' di seluruh negara, walaupun Malaysia kini dalam usaha mempergiatkan program vaksinasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, jika fasa penutupan ini berpanjangan, pendapatan Astro terutamanya di segmen pengiklanan dan perniagaan akan terkesan.

"Bersempena dengan sambutan ke-25 tahun Astro pada tahun ini, kami meniupkan semangat baru dalam jenama kami, dan mempergiatkan usaha menjana perjalanan transformasi syarikat.

"Antara sasaran ditetapkan adalah untuk menjadi pengagregat perkhidmatan penstriman nombor satu negara; meningkatkan kandungan tempatan dengan menerbitkan lebih banyak kandungan Astro Originals yang berbentuk premium; merebut peluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen dagangan, jalur lebar dan digital; dan merealisasikan model perniagaan dan teknologi yang telah dirancang dengan ekosistem yang semakin berkembang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya kini dalam usaha mencapai visi utama untuk menjadi Destinasi Hiburan Nombor Satu Pilihan Rakyat Malaysia, merentasi setiap skrin dan alat peranti, untuk semua, sama ada individu, isi rumah (keluarga), mahupun pengusaha perniagaan.

"Kami juga akan terus mengoptimumkan kos perbelajaan dan mempergiatkan usaha pengurusan modal agar penyata kewangan syarikat kekal kukuh," katanya.

Untuk suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (Q1FY22), Astro mencatatkan keuntungan bersih RM141 juta, meningkat 91 peratus berbanding suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatannya meningkat satu peratus kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.05 bilion sebelumnya.

Tan berkata, FY22 menjanjikan tahun yang penuh dengan aksi-aksi terhebat dan pihaknya terus melaksanakan strategi yang dirancang.

"Pada bulan Jun, kami telah memperkenalkan dua platform perkhidmatan penstriman iaitu sooka yang menyajikan acara sukan berprestij secara langsung dan program-program tempatan khususnya buat golongan milenia, serta Disney+ Hotstar yang menawarkan kandungan menarik pada nilai amat berpatutan," katanya.

Katanya, Astro First terus menjadi destinasi pilihan untuk filem-filem tempatan dengan pendapat bagi segmen ini melonjak 83 peratus dari tahun ke tahun kepada RM11.2 juta.

Antara filem yang mencatatkan pendapatan tinggi adalah 18 Puasa Di Kampong Pisang (RM5 juta), Penunggang Agama (RM3 juta) dan Hantu Bonceng 2.0 (RM2.1 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:31 PM