Abdul Aziz
Abdul Aziz
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyerahkan kepada polis melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian seorang pemimpin pelajar universiti itu mendakwa cedera diserang dua lelaki awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM Abdul Aziz Abu Bakar berkata,biarpun saban tahun pilihan raya kampus (PRK) UKM hangat pihaknya tidak menjangkakan akan berlaku insiden seperti itu.

"Kita amat bersimpati atas apa yang berlaku dan ia di luar jangkaan. Apapun kita serahkan kepada polis bagi melakukan siasatan sehingga kita dapat suatu yang rasmi dan sah untuk kita ambil sebarang tindakan.

"Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal sendiri bergegas ke Hospital Serdang pagi semalam (Isnin) untuk melawat mangsa, namun mendapati Shahir hanya dirawat sebagai pesakit luar dan sudah sudah keluar dari hospital," katanya ditemui di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian Presiden Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Muhammad Syahir Rahimi Sukri, 22 yang juga pelajar tahun tiga Fakulti Pengajian Islam mendakwa dipukul dua individu tidak dikenali pada 5.30 pagi semalam.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkata, pihaknya difahamkan kecederaan dialami mangsa tidak serius dan hanya dirawat sebagai pesakit luar.

"Pelajar terbabit tinggal di luar kampus dan setakat ini dia tidak membuat laporan kepada pihak universiti mengenai kejadian dan hanya membuat laporan polis

"Semakan juga mendapati mangsa tidak datang berjumpa kita, unit kaunseling dan pusat kesihatan universiti seolah-olah menunjukkan dia tidak perlukan sebarang bantuan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin polis akan buat langkah terbaik sama ada untuk diri pelajar terbabit mahupun pihak organisasi UKM dan sekiranya terbukti suspek adalah penuntut universiti itu, tindakan tatatertib boleh dikenakan mengikut Klausa 48 Tatatertib Pelajar UKM.

"Lima jenis hukuman boleh dikenakan iaitu amaran, denda tidak lebih RM200,dihalang memasuki kampus, gantung pengajian dan dibuang universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 4:28 PM