PELAJAR IPT/IPTS menggunakan platform online,. FOTO Yazit Razali
PELAJAR IPT/IPTS menggunakan platform online,. FOTO Yazit Razali
BERNAMA

UNIVERSITI Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian walaupun selepas kemasukan semula pelajar sepenuhnya ke kampus pada Oktober nanti.

Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, sistem PdP di universiti itu akan dilaksanakan secara gabungan iaitu dalam talian dan bersemuka bagi beberapa kursus yang memerlukan kehadiran ke makmal atau studio.

"Umpamanya makmal kejuruteraan, pelajar kena pergi ke makmal untuk buat praktikal atau uji kaji, tapi ada yang boleh buat kuliah dalam talian. Walaupun 100 peratus datang ke kampus, tidak semestinya kita tinggalkan dalam talian, ia kombinasi," katanya.

DATUK Prof Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Prof Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebelum rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk 'Pasca-Covid-19: Pembukaan Universiti Awam dan Swasta dalam Normal Baharu' di Kuala Lumpur, malam tadi.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad membenarkan kemasukan empat lagi kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampus secara berperingkat mulai Julai dan kemasukan sepenuhnya pada Oktober yang menjadi tambahan kepada lima kategori pelajar yang diberi kebenaran sebelum ini.

Empat kategori itu termasuk 30 peratus pelajar tempatan di IPT swasta (IPTS) seperti yang dimohon oleh Persatuan Kolej dan Universiti Swasta.

Sehubungan itu, Kamal Nasharuddin berkata, UNITEN memberi peluang kepada 30 peratus, atau sekitar 2,000 pelajar, yang mempunyai isu capaian Internet dan suasana tidak kondusif untuk belajar secara dalam talian di kampung masing-masing untuk pulang ke kampus.

"Ramai juga pelajar memang berhasrat untuk pulang ke kampus supaya mereka dapat akses kepada Internet dan suasana PdP lebih kondusif, jadi kita menerima dan gembira untuk menyambut kepulangan pelajar ke kampus, tapi paling penting kena patuh prosedur operasi standard (SOP)," tambahnya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, hasil tinjauan institusi itu mendapati 66 peratus atau dua pertiga daripada pelajar lebih berminat dengan kelas yang dibuat secara dalam talian.

"Jadi, kita akan cuba buat sebaik mungkin secara dalam talian kecuali kursus yang memerlukan makmal atau studio. Selain daripada itu, kita akan buat dalam talian walaupun pelajar berada di kampus. Mereka (pelajar) lebih selesa kerana sudah lama belajar secara dalam talian, jadi mereka mahu kekalkan cara yang sama," ujarnya.

Selebihnya, Mohd Hamdi berkata sebanyak satu pertiga pelajar menyatakan mahu kelas dijalankan secara konservatif atau bersemuka kerana kebanyakan mereka datang daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mempunyai kemudahan komputer atau komputer riba.

Susulan itu, katanya, UKM sedang dalam usaha untuk memberi bantuan komputer riba terpakai kepada lebih kurang 260 pelajar yang dikenal pasti berada dalam kategori memerlukan bagi membantu mereka untuk belajar secara dalam talian.

"Kita mencari dana untuk menghadiahkan kepada mereka komputer riba terpakai, dibantu oleh alumni dan pihak HEP (Hel Ehwal Pelajar)... kita berjaya dalam sekitar 400 buah dan kita akan bagi kepada pelajar ini untuk digunakan.

"Selain itu, semua komputer di makmal juga dibuka sehingga 10 malam bagi membolehkan pelajar yang tidak mempunyai komputer mendapatkan akses," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:24 AM