FELESE (merah) digunakan untuk membaja, merata dan menabur.
FELESE (merah) digunakan untuk membaja, merata dan menabur.
Mohamad Hussin


Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang (PPNPP) berjaya menghasilkan teknologi penggabungan operasi penjenteraan ladang pertanian untuk tanaman padi yang dikenali sebagai Felese.

Felese menggabungkan perkataan ‘Fe’ (fertilizer application) iaitu membaja, ‘Le’ (field levelling) merata tanah dan ‘Se’ (row seeding) menabur benih dengan fungsi tiga dalam satu.

Konsep penggabungan Felese berjaya menjimatkan masa, kos pengeluaran, menambah hasil padi serta tenaga kerja.

Pengurus Besar PPNPP Abdul Razak Mat Yusuff berkata, menabur terus kaedah terbaik untuk tanaman padi, malah pembangunan inovasi Felese menjadi pelengkap kepada kaedah itu.

Beliau berkata, inovasi itu bertujuan meningkatkan kadar pertumbuhan dan kesuburan benih padi dengan membaja pada waktu tepat berbanding kaedah sedia ada.

“Kelebihan Felese ialah kerja menyemai benih padi dapat dilakukan serentak dengan perataan tanah dan membaja.

“Ini dapat menjimatkan masa dan kos buruh serta tahap kerataan sawah melebihi 95 peratus. Taburan benih padi dan baja juga dapat diseragamkan.

“Kaedah ini menyebabkan tidak berlaku pembaziran baja dan benih padi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPP Mohd Nasar Harun dan Ketua Unit Industri (Bahagian Pembangunan) LPP Pulau Pinang Mohd Nordin Shafie.

Abdul Razak berkata, Felese dapat meningkatkan peratus pertumbuhan benih lebih baik daripada kaedah tabur terus secara manual kerana benih padi berada di permukaan sawah.

“Benih padi mendapat bekalan baja dengan segera selepas penampakan benih. Kadar kedalaman benih masuk ke dalam tanah sangat penting untuk pertumbuhan.

“Kedudukan baja yang berada tepat di bawah benih padi dapat mempercepat dan menggalakkan pertumbuhan akar serta pokok padi menjadi lebih teguh dengan akar yang banyak dan panjang,” katanya.

Menurutnya, kaedah Felese juga dapat meningkatkan hasil tanaman padi sebanyak lapan tan metrik sehektar berbanding 4.5 tan metrik secara manual.

“Projek ini dihasilkan selepas menyedari kesukaran petani melaksanakan kerja penanaman padi. Felese dicipta untuk menurunkan kadar pembaziran benih padi dan baja organik daripada RM10,260 kepada RM2,595.78 semusim bagi 60 hektar sawah.

“Kita bekerjasama de­ngan Kawasan Pemba­ngunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) untuk melaksanakan kerja membabitkan 2,000 hektar sawah pada fasa awal,” katanya.

Dengan kejayaan itu, seramai 11 ahli kumpulan PPNPP yang mencipta alat berkenaan berjaya meraih Anugerah Emas pada pertandingan World Invention Contest (WIC) anjuran Korea Invention News (Kinews).

Felese juga memenangi anugerah sama dalam Pertandingan Inovasi dan Rekacipta Malaysia (ITEX) 2016 dan Anugerah Perak pada Pertandingan Malaysian Agricultural Invention Show (MAGIS) 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 5:18 AM