MOHD Ramdan Rosli
MOHD Ramdan Rosli
HM Digital

Jempol: Mohd Ramdan Rosli berjaya mengatasi masalah gear menjelang perlumbaan akhir untuk meraih kemenangan sulung CP150 musim 2017 pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Selepas aksi cemerlang sepanjang tiga pusingan lepas termasuk dua gelaran naib juara di Selangor (Pusingan 5) dan Melaka (Pusingan 6), pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu bergelut dengan masalah gear sepanjang sesi latihan yang menyaksikannya sekadar bermula dari petak kelapan.

Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 15’24.031s mengatasi pemenang tempat kedua, Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) dengan kelebihan 0.388s.

Md Iqbal Amri Abd Malek (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ) berjaya meraih podium pertama setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 15’25.255s.

Pendahulu keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayudin bagaimanapun terjatuh dan gagal meneruskan perlumbaan manakala pencabarnya, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) turut mengalami nasib sama namun berupaya meneruskan perlumbaan dan menamatkannya di kedudukan ke-15.

“Setiap sesi latihan saya menggunakan pelarasan yang berbeza-beza dan sewaktu sesi Superpole, saya masih gagal untuk menyesuaikan diri dengan jentera saya. Saya mengalami masalah gear pada sesi Superpole dan terpaksa bermula dari petak kelapan,” jelas Ramdan.

“Pada peringkat awal perlumbaan, saya tidak yakin mampu menamatkan saingan di atas podium. Namun selepas masuk pusingan ke-10, ditambah dengan ketiadaan rakan sepasukan, Kasma Daniel, saya berjaya berada di kelompok depan.

“Saya hanya mengekalkan rentak saya dan mencari peluang untuk memintas Adib. Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan pertama dalam karier CP150 saya.” katanya.

Kemenangan ini meletakkan Ramdan di tangga keempat keseluruhan dengan 70 mata manakala Kasma kekal di tangga teratas dengan 125 mata. Ahmad Afif kedua dengan 100 mata manakala Ahmad Fazli Sham ketiga dengan 75 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 7:10 AM