TIGA pemenang AF2014 Firman (tengah) Aman (kanan) dan Ewal (kiri)
TIGA pemenang AF2014 Firman (tengah) Aman (kanan) dan Ewal (kiri)
Firman muncul juara pada Konsert Akhir Akademi Fantasia (AF) 2014 yang berlangsung di Bangunan MBSA Shah Alam, malam ini. FOTO Munira  Abdul Ghani
Firman muncul juara pada Konsert Akhir Akademi Fantasia (AF) 2014 yang berlangsung di Bangunan MBSA Shah Alam, malam ini. FOTO Munira Abdul Ghani
Oleh Michelle Gun


Shah Alam: Menepati jangkaan, Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir akhirnya diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Firman membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan sebuah kereta Toyota Vios yang disampaikan oleh Pengetua AF 2014 Datuk Hattan.

Pada konsert peringkat akhir itu, Firman mendendangkan lagu berjudul Kejoraku Bersatu nyanyian Search dan lagu baru Di Pintumu ciptaan Datuk M Nasir.

Tempat kedua diungguli Aman yang menerima wang tunai RM30,000 dan sebuah kereta Perodua Myvi.

Manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Ewal dan Nuha yang masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM20,000 dan RM15,000.

Tempat kelima pula disandang oleh Adel yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000. Kesemua pemenang turut memenangi pakej percutian ke Osaka, Jepun berserta trofi.

Terdahulu, Nuha diumumkan sebagai pemenang Personaliti D'herbs, sekali gus menerima hadiah sebanyak RM10,000.

Selain juri tetap Datuk Ramli MS dan Raja Azura, konsert final AF 2014 menampilkan penyanyi tersohor tanah air Amy Search sebagai pengkritik undangan.

Pentas dimeriahkan dengan persembahan Bunkface, Amy Search, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 12:40 AM