LIMA finalis (dari kiri) Adel, Nuha, Ewal, Aman dan Firman bakal berentap di pentas AF2014 esok.
LIMA finalis (dari kiri) Adel, Nuha, Ewal, Aman dan Firman bakal berentap di pentas AF2014 esok.
Oleh Michelle Gun

Peminat Akademi Fantasia (AF) 2014 tentu tidak sabar mengetahui keputusan pemenang program realiti itu yang diumumkan di konsert akhir malam esok.

Saksikan lima finalis iaitu Adel, Firman, Aman, Ewal dan Nuha masing-masing membuat dua persembahan istimewa di konsert yang bersiar secara langsung dari Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) bermula jam 9 malam.

Berkongsi mengenai persiapan final AF2014, Ketua Program Realiti dan Format Astro, Namanzee Harris berkata, persembahan kali ini lebih hebat dari musim AF sebelum ini.

"Setiap finalis dikehendaki menyanyi satu lagu 'cover' dan lagu sendiri. Istimewanya, lagu yang bakal didendangkan Nuha esok adalah ciptaan sendiri," katanya.

Katanya, pentas AF2014 dimeriahkan lagi dengan persembahan beberapa artis jemputan iaitu Bunkface, Dayang Nurfaizah, Mas Idayu, Ning Baizura dan Amy Search.

"Datuk Hattan juga muncul bersama ahli fakulti dan peserta. Selain itu, Hafiz Suip dan Stacy juga akan menghiburkan penonton di karpet merah," katanya.

Menjangka konsert itu bakal dibanjiri peminat, Namanzee berkata, Astro menyediakan skrin besar di luar auditorium dan Dataran Shah Alam.

"Kami lebih memberi penekanan kepada persembahan dan konsep finalis. Mereka bukan saja menyanyi di pentas, tetapi perlu ada tema tersendiri.

"Pada konsert esok juga, kami mahu melihat reaksi penonton terhadap lagu peserta yang membabitkan komposer hebat Ajai, Kuncidemak, Datuk M Nasir dan Amir Jahari," katanya.

Mengenai persiapan pentas pula, Ketua Unit rekaan Astro Rafidah Othman berkata, konsep musim ini perlu memberi gambaran suasana peserta di Diari AF dan pentas.

"Konsep pentas setiap musim perlu berbeza dan lebih menarik. Ini kerana perkara pertama yang ingin dilihat penonton adalah rekaan pentas.

"Jadi setiap pesembahan esok ada props dengan skrin LED di pentas. Selain itu, pesembahan finalis juga diiringi okestra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:01 AM