BERDEBAR nantikan kemunculan sulung di layar perak menerusi Polis Evo.
BERDEBAR nantikan kemunculan sulung di layar perak menerusi Polis Evo.
Oleh Norhayati Nordin


Bukan mudah jalan yang dilalui Mimi Ernida, 25, untuk memahat namanya di persada seni tempatan. Dia pernah putus asa dalam tempoh dua tahun terawal dulu tetapi bangkit menguatkan semangat dengan terus memujuk hati supaya cekal dan bersabar.

Sentiasa yakin pada rezeki ditetapkan Tuhan, Mimi atau Nor Shamimi Ernida Mansor yang dicungkil bakatnya melalui program Gadis Melayu pada 2010 akui dia perlu rajin berusaha sehingga berjaya.

Mimi bersyukur di sebalik kepayahan menempatkan diri dalam bidang lakonan, hingga kini belum pernah ditipu.

“Itu yang saya sangat bersyukur kerana sekurangkurangnya tidak pernah menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Selama empat tahun, saya kuatkan diri dan sema­ngat untuk terus berjuang membina nama dalam lakonan. Syukur lakonan dalam drama Rindu Awak 200% berjaya.

“Biarpun sebagai watak pembantu, karakter Daria dalam drama itu banyak membantu saya dikenali penonton malah mampu memperoleh peminat,” katanya.

Kata Mimi, kini dia teruja dengan kemunculannya dalam filem Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar yang bakal ditayangkan di pawagam pada 17 September ini kerana lakonan pertamanya di layar perak.

Dalam filem yang turut dijayakan Shaheizy Sam dan Zizan Razak, Mimi menjadi anak pelakon berkaliber, Wan Hanafi Su.

“Memang saya sangat bersyukur dapat peluang membintangi Polis Evo. Meskipun pada mulanya bimbang kerana saya akan bekerja dengan barisan pelakon terkenal seperti Sam, Zizan dan Nora Danish, saya kuatkan semangat dan mengatakan ini cabaran yang perlu saya sahut.

“Barangkali sudah tiba masanya untuk saya memper­sembahkan bakat lakonan dimiliki. Bahkan saya perlu bijak membawa diri dan rajin berbincang,” katanya.

Tidak malu bertanya, ia menjadikan Mimi mudah bergaul dan tidak segan menimba ilmu daripada pelakon berpengalaman. Katanya, Zizan dan Sam juga banyak membantu.

Sudah terbiasa melakonkan watak baik, Mimi juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangannya terhadap penerimaan penonton apabila dia beraksi dalam watak antagonis.

Anak jati Kedah ini akui gementar menunggu reaksi penonton termasuk peminat terhadap lakonannya dalam drama Bukan Isteri Sempurna menerusi slot Samarinda, TV3.

Berganding dengan Dazrin Kamarudin dan Atikah Suhaime, Mimi gementar kerana watak Azura dilakonkannya adalah antagonis.

“Ini kali pertama saya melakonkan watak jahat dan harap ia diterima penonton. Apa pun, saya sudah bersedia menerima sebarang kritikan.

“Jika dikutuk sekali pun dan membuatkan penonton benci, secara tidak langsung watak Azura yang saya lakonkan itu menjadi.

“Saya sudah berusaha melakukan sebaik mungkin dan sering berbincang dengan pengarah untuk memenuhi tuntutan karakter itu,” katanya.

Mengakui bukan mudah melakonkan watak hitam, Mimi berkata dia perlu banyak belajar dan menimba ilmu daripada pelakon berpengalaman.

Selain lakonan, Mimi akui sentiasa menanam impian untuk bergelar pengacara tetapi buat masa ini belum ada tawaran.

“Saya tahu pembabitan dalam program Gadis Melayu dulu memberi ruang dan peluang untuk saya menimba ilmu dalam bidang pengacaraan. Bagaimanapun, nampaknya rezeki saya lebih terarah dalam bidang lakonan.

“Saya tidak mahu bersikap tamak dan terima rezeki ditetapkan Allah. Pada saya, apa saja tawaran yang datang meskipun dalam lakonan, saya perlu terima. Tidak boleh terus menunggu kerana peluang tidak datang berulang kali,” katanya.

Mimi juga gembira kerana minatnya untuk menceburi dunia seni mendapat restu ibu bapa. Katanya, dia perlu gigih meningkatkan usaha kerana kini semakin mendapat peluang daripada stesen TV dan penerbit drama.

Dia mengharapkan Polis Evo mendapat perhatian dan meletakkan segala-galanya kepada rezeki kerana sedar keadaan jualan tiket wayang sekarang kurang memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:02 AM