SYAFIQ Kyle
SYAFIQ Kyle
Oleh Ramlah Zainal


WATAK Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur bukan saja mencetuskan fenomena malah turut menaikkan nama dan populariti Syafiq Kyle di persada hiburan tanah air.

Lebih manis, Syafiq, 27, turut dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian, Anugerah Skrin (ASK) 2018.

Bukan saja drama rantaian, filem genre seram lakonannya Pusaka juga mencecah kutipan luar biasa sejak menjengah pawagam tanah air 31 Oktober lalu.

Begitupun bagi Syafiq, masih banyak ilmu yang mahu ditimbanya selepas sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Saya masih cetek dalam bidang lakonan dan banyak kelemahan perlu diperbaiki untuk mengukuhkan nama sedia ada.

“Menang anugerah bukan menjamin kita pelakon yang bagus

sebaliknya ia hanya bonus dan penghargaan kepada pelakon,” katanya.

Justeru, katanya, dia juga semakin selektif dengan setiap watak ditawarkan dalam lakonan ketika ini.

Menurutnya, dia juga memastikan watak ditawarkan sedikit berbeza kerana mahukan variasi dalam lakonan.

“Setiap watak dalam drama mahupun filem mempunyai cabaran tersendiri.

“Contohnya, saya melakonkan watak lelaki lembut dalam telemovie Shiba Shiba Doo yang bersiaran di saluran Astro Citra dan Citra HD pada 21 Disember lalu,” katanya.

Terbaru, Syafiq beraksi dalam filem genre aksi Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof bergandingan dengan Zizan Razak dan Nora Danish selaku teraju utamanya.

“Saya terima tawaran untuk berlakon dalam filem Polis Evo 3 kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Skrip dan jalan cerita Polis Evo juga kuat dan genre filem ini belum pernah dilakonkan sebelum ini.

“Polis Evo juga sudah menjadi satu jenama yang sangat kuat, sama seperti siri filem Police Story.

“Jadi ia juga menjadi antara sebab mengapa saya sangat teruja menerima tawaran untuk beraksi dalam filem ini,” katanya.

Mengenai cabaran dalam filem Polis Evo 3 pula, kata Syafiq, watak Inspektor Danny tidak jauh beza dengan watak pegawai polis yang pernah dilakonkan dalam filem Pusaka.

“Mungkin saya sudah biasa dengan watak anggota polis dalam filem Pusaka, jadi perwatakan sebagai anggota keselamatan sudah agak sebati dalam diri.

“Kekuatannya juga pada jalan cerita dan aksi yang diterapkan dalam setiap babak.

“Isu yang diketengahkan dalam filem ini berbeza dengan isu jenayah yang ada dalam naskhah lain,” katanya.

Gandingan dengan Zizan, Nora Danish

Dalam filem Polis Evo 3 ini, Syafiq bergandingan dengan Zizan Razak dan Nora Danish selaku teraju utama.

Menurut Syafiq, dia tiada masalah untuk mendapatkan keserasian bergandingan dengan pelakon yang bagus seperti mereka.

“Zizan dan Nora adalah pelakon berpengalaman dan sudah beraksi dalam filem Polis Evo yang pertama.

“Jadi, banyak hal berkaitan filem yang saya rujuk pada mereka,” katanya.

Ditanya kerjasama dengan Syafiq Yusof selaku pengarah pula, katanya, dia selesa bekerja dengannya.

“Banyak perkara baru yang dipelajari termasuklah mengenai aspek pengarahan, lontaran dialog dan penghayatan skrip.

“Ada babak yang mencabar serta memerlukan saya beraksi sedikit ekstrim dan mengikut skrip ditetapkan.

“Setakat ini, saya tidak mengalami kecederaan. Setakat lebam-lebam perkara biasa,” katanya.

Apapun, kata Syafiq, dia berharap supaya penonton menyukai filem itu kerana ia naskhah aksi kepolisan yang berbeza.

“Mungkin naskhah ini akan menjadi penguat jalan cerita dan pengikat cerita latar untuk Polis Evo 1 dan 2,” katanya.

Ditanya projek baru 2020 pula, kata Syafiq, dia masih meneliti beberapa projek baru.

“Buat masa ini, saya masih menjalani penggambaran Polis Evo 3 sehingga pertengahan Januari depan.

“Selain itu, projek filem Pusaka 2 pula, masih dalam perbincangan,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, kata Syafiq, hubungan dengan kekasihnya pelakon Mimi Lana juga berjalan lancar ketika ini.

“Jika ada rezeki, kami akan berganding lagi dalam projek filem Baru Pusaka 2 nanti.

“Buat masa ini, kami belum ada perancangan untuk berkahwin kerana mahu fokus pada karier seni masing-masing terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:25 AM