CERIA baju kurung warna hijau epal sesuai dipakai ke majlis rasmi.
CERIA baju kurung warna hijau epal sesuai dipakai ke majlis rasmi.
RONA kuning pinang anggun menawan.
RONA kuning pinang anggun menawan.
ANGGUN baju kurung kapas dengan perincian pada tangan dan bawah baju.
ANGGUN baju kurung kapas dengan perincian pada tangan dan bawah baju.
BLAUS digayakan skirt kembang sesuai untuk acara santai.
BLAUS digayakan skirt kembang sesuai untuk acara santai.
Rashidah Ibrahim

Tanpa merancang dan membuat pemerhatian serta penyelidikan mengenai pola pasaran, Budi Citawan Wan Hanafi Su, 29, memulakan perniagaan pakaian tiga tahun lalu secara suka-suka. Didorong oleh ibu sendiri, anak kepada pelakon serba boleh Wan Hanafi Su memulakan perniagaan pada Ramadan dengan modal permulaan RM40,000 membeli pakaian siap.

Menggunakan nama sendiri sebagai ilham jenama, Budi Citawan mengubah suai sebutan itu menjadi Chita Budi, supaya lebih senang disebut dan diingati. Nama yang agak unik itu ternyata membawa tuah kepadanya, dengan hanya dua tahun percubaan, ternyata perniagaannya menunjukkan peningkatan sehingga membuka butik.

Tanpa banyak halangan pada tahun lalu, dia membuka butik di Medan Mara, Kuala Lumpur. Setelah mendapat lot berkenaan, tugas pertama membuat pengubahsuaian dengan kos sekitar RM30,000. Kini butiknya baru berusia setahun, namun Budi Citawan tidak risau dengan saingan dalam perniagaan baju siap.

“Saya sudah tahu apa pelanggan mahu. Kedai menjual pakaian memang banyak, tetapi kenapa mereka datang ke butik ini? Jawapannya kerana pelanggan suka dengan produk di sini. Maksud saya, mereka suka pada kualiti jahitan, jenis kain yang diguna dan harga berpatutan. Kelebihannya ia mampu milik dan berbaloi dibeli,” ulasnya.

Menurutnya dari segi fesyen, biasa sahaja tetapi tarikan pada pilihan fabrik. Chita Budi menumpukan pada pakaian sopan untuk kegunaan harian, ke pejabat dan raya meliputi baju kurung pesak, kurung mini, blaus, palazzo dan tudung.

“Baju kurung pesak menjadi pilihan kerana ia bukan saja sesuai digayakan pada hari raya, malah dipakai ke tempat kerja. Kami menyediakan fabrik berkualiti terutama jenis sifon yang lembut dan halus. Baju boleh disuai padan dengan tudung yang turut dijual di sini sama ada selendang, tudung segera dan tudung bersengkuap,” ujarnya yang secara peribadi meminati fesyen.

Pakaian yang ditawarkan ada bercorak, polos atau padanan. Di peringkat membeli kain lagi katanya, dia memikirkan kesesuaian padanan untuk sesuatu rekaan baju.

“Tidak mudah mencari padanan yang sesuai, kadang-kadang dicari di tempat berasingan,” tambahnya.

Sejak ada kedai, menurut Budi Citawan dia tidak lagi beli baju siap, tetapi mengutamakan yang dijahit sendiri dengan jumlah terhad untuk sesuatu rekaan.

“Maksudnya kami tidak keluarkan pakaian biasa bagi menjaga kualiti,” jelasnya sambil mendedahkan rahsia seterusnya, iaitu menghasilkan pakaian siap dengan jahitan teliti dan kemas, seperti baju yang hendak dipakai sendiri.

Satu lagi rahsia yang membuat dia tidak berasa tertekan sepanjang tiga tahun berniaga ialah dia memulakan perniagaan tanpa membuat sebarang pinjaman kewangan, sebaliknya menggunakan duit sendiri seratus peratus.

Semua produk dijual pada harga RM300 ke bawah, bahkan kebanyakannya tidak mencecah angka itu dan ia mampu dimiliki kebanyakan pelanggan, setimpal mutunya. Selain baju untuk pelanggan wanita, turut dijual baju Melayu lelaki.

Setakat ini, dia masih sibuk dengan persiapan produk terbaru untuk kegunaan mengikut musim. Atas permintaan ramai, dia juga akan mengadakan jualan dalam talian suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:02 AM