FABRIK lycra Korea corak floral pada gaun kembang, kurung tonjol keayuan pemakai.
FABRIK lycra Korea corak floral pada gaun kembang, kurung tonjol keayuan pemakai.
Siti Zarinah Sahib


Memahami cita rasa wanita yang pelbagai, mendorong Datin Rosmah Ibrahim memperkenalkan koleksi busana Thaheerah bagi memberikan pilihan kepada pelanggan. Sebagai pengasas jenama, Rosmah percaya ramai wanita masih tercari-cari busana elegan pada masa sama sesuai digayakan untuk pelbagai acara.

"Ini juga antara penyebab saya memperkenalkan busana ringkas dan sederhana tetapi kelihatan menawan menerusi percikan corak pada fabriknya," katanya.

Menggunakan lycra Korea berkualiti dengan corak floral bagi menonjolkan keayuan dan elegan kepada si pemakai. Rekaan potongan A dengan kembang jatuh, semakin diminati ramai.

"Untuk Aidilfitri kali ini saya mempertaruhkan potongan gaun kembang dan baju kurung bercorak. Bagi wanita tinggi lampai potongan A menampakkan tubuh lebih langsing.

"Saya juga percaya ramai wanita bukan sahaja mencari busana untuk musim perayaan semata-mata sebaliknya padanan itu boleh dipakai ke pejabat atau majlis keraian lain. Jadinya ia praktikal dan boleh dipakai berulang kali," jelasnya.

Hadir dengan rona terang ia sudah tentunya memberikan pilihan untuk mereka yang berani. Namun begitu warna ditampilkan tidaklah terlalu menonjol sebaliknya diseimbangkan dengan corak yang elegan.

"Saya akui bukan semua wanita gemarkan gaya polos, ada yang suka bercorak. Jadi gaun dan baju kurung ini sememangnya memenuhi cita rasa pelanggan yang inginkan konsep bercorak untuk lebaran," katanya.

Menceritakan permulaannya, Rosmah berkata, pada 2013 lalu dia sering menerima rungutan wanita berkerjaya yang sukar mendapatkan pakaian sesuai mengikut syariat Islam pada masa sama mengekalkan kesopanan dan penampilan menawan.

"Lalu saya menghasilkan rekaan jubah dan baju kurung agar lebih ramai wanita mendapat manfaatnya. Setiap rekaan saya akan pastikan tidak jarang, longgar dan selesa digayakan. Alhamdulillah sejak beroperasi jenama ini mula dikenali ramai," katanya yang mempunyai dua butik di Shah Alam.

Sepanjang Ramadan, Thaheerah mengadakan promosi diskaun harga sehingga RM159 untuk busana berharga RM200 dan ke atas serta jubah terpilih pada harga RM100 selagi stok masih ada. Pelanggan boleh mendapatkannya dengan datang ke butik atau pembelian menerusi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 11:15 AM