HAHN kembali cergas selepas dibelenggu kecederaan.
HAHN kembali cergas selepas dibelenggu kecederaan.
Reuters

Berlin: Borussia Moenchengladbach berusaha mengembalikan semula keyakinan yang membantu mereka menghuni tangga ketiga musim lalu apabila mereka berdepan Hamburg SV awal pagi esok, ketika kelab yang layak ke Liga Juara-Juara itu mengalami permulaan terburuk bagi musim Bundesliga berikutan tiga kekalahan berturut-turut.

Gladbach, pasukan terbaik Bundesliga pada babak kedua musim lalu, masih belum meraih satu mata dengan anak buah Lucien Favre gagal bertindak cemerlang dan hanya menyumbat dua gol setakat ini serta benteng pertahanan dibolosi lapan kali dan menduduki tangga tercorot Bundesliga.

Jurulatih Switzerland itu sedar kembalinya daripada kecederaan pertahanan berpengalaman Martin Stranzl dan penyerang Andre Hahn, yang tampil sebagai pemain gantian ketika kalah 1-2 kepada Werder Bremen, amat dialu-alukan untuk menutup kelemahan di benteng selain mempertajamkan kemahiran jaringan mereka.

Hahn dan Stranzl, 35, yang tidak beraksi sejak Mac lalu berikutan kecederaan lutut, diperlukan untuk mengubah nasib mereka dalam liga selain kunjungan ke Sevilla bagi perlawanan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu depan.

“Kami perlu meraih semula keyakinan dengan keputusan positif jadi kami dapat segera memadamkan tanggapan negatif,” kata pemain kebangsaan Austria, Stranzl, yang berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama awal pagi esok.

“Selepas perlawanan menentang Hamburg kami akan berdepan beberapa minggu sibuk, maka kami akan fokus satu perlawanan demi satu perlawanan. Itulah sebabnya kemenangan kini amat penting. Kami perlu terus bekerja keras dan percaya terhadap diri sendiri.”

Hamburg, yang terpaksa bersaing pada play-off musim lalu sebelum kekal, bermula lebih baik dengan pasukan kendalian jurulatih Bruno Labbadia meraih satu kemenangan setakat ini.

Labbadia boleh menurunkan semula kapten Johan Djourou selepas kecederaan otot, namun tampil tanpa pertahanan yang digantung Emir Spahic.

“Gladbach mahu meraih kemenangan pertama mereka. Ketika kalah kepada Mainz 05 mereka menekan, mereka terlepas peluang, amat tidak bernasib baik.” kata Labbadia. “Ia bukannya permulaan yang mereka jangkakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 7:54 AM