Aung San Suu Kyi. Foto AFP
Aung San Suu Kyi. Foto AFP
AFP

Yangon: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dihukum penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Myanmar hari ini kerana mengeluarkan kenyataan hasutan terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19.

Jurucakap junta Zaw Min Tun berkata, Suu Kyi dihukum penjara dua tahun mengikut Seksyen 505(b) dan dua tahun penjara mengikut undang-undang bencana alam.

Bekas Presiden Win Myint juga dipenjarakan selama empat tahun mengikut pertuduhan yang sama.

"Mereka akan menghadapi pertuduhan lain dari tempat mereka tinggal sekarang di ibu negara Naypyidaw," tambahnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Suu Kyi yang berusia 76 tahun ditahan sejak kerajaannya digulingkan pada awal pagi 1 Februari, menamatkan demokrasi singkat Myanmar.

Junta sejak itu menambah banyak dakwaan lain termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya.

Pemenang Hadiah Nobel itu berdepan hukuman penjara berdekad lamanya jika disabitkan kesalahan atas semua tuduhan itu.

Wartawan dihalang daripada membuat liputan prosiding di mahkamah khas di ibu negara yang dibina tentera dan peguam Suu Kyi baru-baru ini dilarang bercakap kepada media.

Lebih 1,300 orang terbunuh dan lebih 10,000 ditangkap dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:55 PM