SUU Kyi tiba di Parlimen di Naypyidaw, semalam.
SUU Kyi tiba di Parlimen di Naypyidaw, semalam.
Agensi

Naypyidaw: Parlimen Myanmar semalam mengumumkan keputusan untuk mempercepatkan pemilihan presiden baru, sekali gus menyebabkan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi kesuntukan masa untuk mendapatkan persetujuan bagi membolehkan dia bertanding dan menjadi pemimpin baru negara itu.

Suu Kyi ketika ini dilarang bertanding di bawah perlembagaan junta tentera.

Sejak Liga Kebangsaan Bbagi Demokrasi (NLD) yang diketuainya memenangi pilihan raya pada November lalu, Suu Kyi terbabit dalam rundingan dengan junta tentera dengan harapan ia menarik balik halangan yang menyekatnya menjadi presiden.

Pemilihan itu sebelum ini dijadual pada 17 Mac.

“Parlimen akan bersidang dan anggota Dewan akan memilih presiden dan naib presiden pada 10 Mac ini, seminggu lebih awal dari yang diumumkan sebelum ini,” kata speaker, Win Khaing Than.

Perlembagaan Myanmar sekarang menghalang mereka yang mempunyai anak atau suami warga asing memegang jawatan tertinggi negara itu.

Mendiang suami dan dua anak Suu Kyi ialah rakyat Britain.

Suu Kyi sebelum ini berkata, dia tetap akan menjadi pemerintah atasan kepada sesiapa yang menggantikan presiden sekarang, Thein Sein.

Tentera Myanmar masih menguasai seperempat kerusi Parlimen dan akan memilih seorang daripada tiga calon untuk jawatan presiden.

Dua lagi calon akan dipilih oleh anggota Dewan Rendah dan Tinggi yang kedua-duanya dikuasai NLD.

Presiden baru akan dipilih menerusi undi oleh anggota kedua-dua Dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 7:12 AM