ROSBERG ketinggalan 53 mata daripada Hamilton.
ROSBERG ketinggalan 53 mata daripada Hamilton.

Monza, Itali: Nico Rosberg tidak berhasrat memberi laluan mudah buat rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton menjulang gelaran dunia buat kali ketiga walaupun ketika ini dia ketinggalan 53 mata di belakang selepas Grand Prix Itali, kelmarin.

Pemandu Jerman berusia 30 tahun itu yang menarik diri akibat masalah enjin ketika perlumbaan berbaki dua pusingan, mengharungi hari paling buruk sepanjang musim ini sambil Hamilton memacu kemenangan ke-40 kariernya.

“Jelas apa yang saya lalui ini satu malapetaka,” kata Rosberg.

“Ia kekalahan terbesar dan ia berlaku hanya dalam sehari. Hari itulah yang memburukkan catatan semusim saya. Kini, saya perlu mengejarnya.

“Saya akan terus berusaha. Menyerah kalah tidak wujud dalam diri saya. Saya akan terus melawan dan cuba memenangi beberapa perlumbaan selepas ini.”

Masalah Rosberg bermula sejak pagi Sabtu lagi ketika sesi ujian terakhir apabila sistem penyejukan enjinnya bocor sekali gus bermakna dia perlu menukar enjin yang digunakan ketika Grand Prix Belgium sebelum ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:20 AM