AFP

Monza, Itali: Lewis Hamilton melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan pemandu dunia tahun ini kepada 53 mata semalam apabila dia memandu dengan penuh bergaya tanpa kesilapan untuk menjuarai Grand Prix Itali.

Pencabar terdekatnya, rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg tidak menamatkan perlumbaan selepas enjin meletup dengan berbaki dua pusingan ketika dia menduduki tangga ketiga.

Ada kekeliruan selepas itu apabila Mercedes terpaksa berdepan steward bagi menjelaskan kemungkinan kereta Hamilton menggunakan tekanan tayar lebih rendah berbanding tahap dibenarkan.

“Kami diberitahu pada hujung perlumbaan sesetengah tekanan tayar kereta diperiksa dan diminta bertemu dengan steward,” jelas ketua Mercedes, Toto Wolff.

Hamilton mendahului dari petak mula hingga ke garisan penamat, mendahului sepanjang perlumbaan dan terselamat daripada tempoh menyukarkan ketika pusingan penamat apabila dia menyedari masalah itu.

Jurang mata dimiliki menjadikannya pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan dan merangkul kejuaraan dunia ketiga dalam tujuh perlumbaan selepas ini.

Juara dunia dua kali itu menamatkan saingan 25 saat di depan Sebastian Vettel dari Ferrari dengan bekas wira tempatan Felipe Massa berakhir di tangga ketiga buat Williams, mengulangi pencapaian podiumnya tahun lalu.

Bagi Ferrari, ia hari yang harus diraikan ketika Vettel menyerlah dalam perlumbaan pertamanya buat pasukan itu di litar mereka.

Kemenangan Hamilton adalah kedua berturut-turut di Autodromo Nazionale, ketiga keseluruhan di litar terkenal itu, ketujuh buatnya musim ini dan ke-40 sepanjang kariernya.

“Beberapa pusingan terakhir itu tidak menarik,” kata Hamilton kepada juruteranya menerusi radio pasukan merujuk kepada arahan supaya dia lebih laju dengan harapan mengelak kemungkinan dikenakan penalti kerana menggunakan tekanan tayar yang tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 8:34 AM