ANTARA pilihan pencuci mulut enak.
ANTARA pilihan pencuci mulut enak.
ANTARA pilihan pencuci mulut enak.
ANTARA pilihan pencuci mulut enak.
KEWUJUDAN kafe buat puteri tercinta.
KEWUJUDAN kafe buat puteri tercinta.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Jika trend kafe hipster menjadi taruhan pengusaha sejak kebelakangan ini, berbeza pula dengan kafe pencuci mulut Duchess of Manchester yang 100 peratus mengetengahkan konsep Inggeris yang jarang dibuat di negara ini.

Sememangnya, negara ini diibaratkan syurga makanan, apatah lagi tekak orang kita memang sudah biasa dengan hangat sambal belacan atau sambal petai sebagai hidangan.

Mungkin bagi sesetengah orang, hidangan ala ‘mat salih’ tidak kena dengan tekak atau selera mereka, namun tidak kurang juga yang begitu menggemari hidangan Barat dan boleh hidup dengan makanan itu setiap hari atau setidak-tidaknya sekali-sekala.

Ternyata langkah berani pemiliknya mencipta kelainan dengan memperkenalkan satu-satunya kafe Inggeris di bandar itu membuahkan hasil apabila ia mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.

Pertama kali melangkah kaki ke kafe di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini membuatkan penulis terpegun seketika. Apa tidaknya, dekorasi dan susun atur perabot di dalamnya terasa seolah-olah seperti berada di rumah sendiri.

Maka, percaturan pemiliknya Dr Ira Mardiana Yusof, 35, nyata tepat dan nilai sentimental yang diterapkan dalam penubuhan kafe itu juga semakin dekat di hati pelanggan.

Dr Ira berkata, kafe yang diusahakan bersama suaminya, Hassnol Zamman, 35, adalah manifestasi kasih sayang buat anak sulung mereka, Jannah Rose Jane yang berusia tiga tahun sebaik saja mereka sekeluarga pulang ke tanah air selepas tujuh tahun berada di Manchester, United Kingdom (UK) bagi melanjutkan pengajian sarjana dan kedoktoran.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berkata, ketika pulang ke tanah air, dia berasakan kesukaran mendapatkan makanan yang disukai anaknya memandangkan anaknya itu sudah biasa dengan makanan dan pencuci mulut Inggeris.

“Jadi, ketika itu saya terfikir mungkin ada baiknya jika saya berkongsi keenakan pencuci mulut yang terkenal di negara itu. Tambahan pula makanan asli Inggeris agak kurang disaji di negara ini dan orang kita mungkin biasa dengan makanan Perancis atau Itali saja.

“Ketika melanjutkan pengajian, saya sering membuat eksperimen masakan dan pencuci mulut orang tempatan dan lama-kelamaan saya semakin mahir. Apabila pulang ke tanah air, anak saya yang dilahir dan dibesarkan di sana hanya mahu makan hidangan Inggeris, jadi saya dan suami mendapat idea membuka kafe yang menyediakan pencuci mulut resipi asal negara itu.

“Boleh dikatakan Jannah adalah bos kecil kafe ini dan dialah ‘Duchess of Manchester’ itu,” katanya.

Kafe yang dibuka sejak Jun lalu menyajikan pelbagai jenis menu pencuci mulut terkenal dari negara berkenaan antaranya skon, epal bersalut coklat karamel, tart coklat, tart keju, kek pisang bersama walnut, kek coklat dan ayam panggang madu rosemary serta hidangan terkenal Inggeris iaitu puding toffee.

Dr Ira berkata, selepas mendapat banyak reaksi positif daripada pelanggan, dia kini merancang mempelbagaikan masakan panas selain pencuci mulut, namun masih mengekalkan 100 peratus resipi asal negara itu.

Menurutnya, dia sentiasa mengekalkan ciri-ciri Inggeris baik menerusi menu mahupun dekorasi kafe kerana mahu pelanggan yang datang merasai sendiri suasana yang santai ketika menikmati hidangan negara itu.

Konsep di Duchess of Manchester adalah cetusan idea mereka sendiri tanpa menggunakan sebarang khidmat perunding hiasan dalaman.

Lebih menarik, menu hidangan yang disediakan di kafe itu turut mengangkat nama ikon terkenal England seperti King Arthur dan Lady Diana, Kate Middleton, penya­nyi Adele dan Jessie J selain nama tempat di negara itu seperti Cardiff serta Birmingham.

“Perabot dan kebanyakan hiasan di kafe ini dibeli di UK ketika kami tinggal di negara itu, sebab itu ia meninggalkan nilai sentimental buat kami untuk dikongsi bersama pelanggan,” katanya.

Katanya, walaupun kakitangan di Duchess of Manchester terdiri daripada pelajar jurusan kulinari dari Management & Science University (MSU) serta Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) yang mahir dalam bidang mereka, dia memastikan resipinya dihasilkan mengikut ciri-ciri dan standard yang ditetapkan.

Namun, Dr Ira mengakui cabaran terbesar yang perlu dilalui termasuk mendapatkan buah-buahan segar yang biasa didapati di UK dengan sangat murah, namun agak mahal di negara ini.

“Buah-buahan seperti strawberi, beri dan pelbagai buah-buahan segar lain memang selalu digunakan untuk hidangan pencuci mulut Inggeris. Jadi cabarannya adalah hendak mengekalkan harga yang berpatutan untuk pelanggan.

“Meskipun kos bahan untuk membuat pencuci mulut ini boleh dikatakan agak mahal, saya berasakan apa yang penting adalah kepuasan pelanggan berbanding keuntungan semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:00 AM