MENU dalam kategori Single Platter Origin.
MENU dalam kategori Single Platter Origin.
Hajahfarhana Tarmudi


Coklat gelap, mungkin tidak ramai menyukainya kerana rasanya yang agak pahit. Namun, rasanya berbeza apabila ia dihidangkan sebagai pencuci mulut dan minuman yang lazat.

Menerusi sesi uji rasa dan pilihan coklat yang ada, penggemarnya dapat menghayati menu manisan terkini dalam membezakan kepelbagaian jenis coklat asli dan coklat campuran.

Bagi merasai pengalaman menikmati manisan berasaskan coklat, kunjungan anda ke The Dark Gallery pastinya tidak mengecewakan. Dilancarkan di pusat beli-belah MyTown oleh jenama makanan dan minuman Singapura, Thirtythree, kafe dan butik konsep baru itu bukan saja mempromosikan keseronokan menikmati pencuci mulut coklat gelap artisan malah seni di sebalik penghasilannya.

Pelbagai pilihan pencuci mulut yang boleh dibawa pulang seperti bar coklat daripada biji coklat, ais krim, biskut artisan coklat Perancis dan granola coklat artisan yang boleh didapati sama ada di kedai atau melalui dalam talian.

Didatangkan dengan empat piring dihias menarik, pengunjung berpeluang untuk menikmati eksplorasi coklat daripada negara berbeza seperti Venezuela, Ecuador, Madagascar dan Republik Dominica.

Menu yang dihidangkan akan disediakan bersama cetakan infografik yang menerangkan profil rasa setiap coklat ketika menikmati aiskrim dan pastri. Dua menu iaitu Dark Chocolate Ice Cream Platter dan Hot Chocolate Shots Platter menawarkan rasa tiga jenis koko berkenaan.

Koko Madasgacar lebih ringan dan mempunyai rasa manis buah; koko dari Republik Dominica pula memiliki rasa manis bunga serta pedas manakala koko Venezuela, pahit manis.

Sajian Chocolate Pastries Platter pula dilengkapi dua makarun coklat, tart, s’more buatan sendiri dengan coklat gelap pada marshmallow bakar dan dikapit bersama biskut graham serta trifle dengan mousse coklat gelap, pisang karamel, ketulan brownie dan krim putar bersaiz mini.

Bagi pelanggan yang mahukan kombinasi kesemua rasa coklat yang berbeza, mereka boleh memilih Chocolate Medley yang mengandungi satu pastri, satu skup kecil aiskrim coklat gelap serta secawan kecil coklat panas.

Menjadi pilihan popular generasi Instagram adalah manisan yang disusun indah seperti Chocolate Rhapsody yang dilengkapi dengan tiga skup besar aiskrim coklat gelap, coklat susu dan coklat putih istimewa dengan tekstur berbeza tersusun di atas lapisan coklat rangup yang dikelilingi mousse coklat serta meringue dan tuile koko.

The Chocolate Brownie Mess pula disediakan bersama sos coklat gelap, tuile badam dan satu skup aiskrim pilihan pelanggan dan hidangan klasik, The New Banana Split yang diolah semula menggunakan ais krim vanila, strawberi serta coklat susu dihidang dengan karamel pisang, tuile badam serta serpihan serbuk roti.

Seandainya tidak mempunyai masa panjang untuk sesi minum petang, boleh cuba nikmati menu ringkas wafel atau aiskrim premium dengan 12 pilihan rasa coklat dan lain-lain termasuk pudina atau mentega kacang bergaram.

Malah, ia juga dilengkapi dengan 10 pilihan sos dan hiasan aiskrim yang dicipta khas seperti badam karamel, kacang hazelnut, marshmallow, sos coklat gelap, sos karamel serta meringue yang dibakar.

Selain minuman sejuk dan panas coklat, terdapat juga menu istimewa yang disediakan iaitu The Chocolate Affogato, campuran espresso dengan aiskrim coklat gelap yang dihidang bersama karamel badam istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 10:33 AM