KAFE The Sumps hidang gabungan citarasa chef dan kru.
KAFE The Sumps hidang gabungan citarasa chef dan kru.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Selain makanan berkonsepkan ‘fusion’ yang menonjolkan keaslian rasa tersendiri, cara setiap hidangan disajikan di kafe The Sumbs pasti meninggalkan kesan pada setiap pelanggan.

Menggunakan kotak ditempah khas sebagai alternatif kepada kaedah penyediaan makanan terbabit supaya tampak kemas, ia turut membantu menjamin kualiti kebersihan makanan.

Ditambah dekorasi kafe yang bersahaja menggunakan warna ungu lembut selain putih sebagai tema warna, ia menyuntik elemen santai nyata sesuai dikunjungi bersama rakan mahupun keluarga.

Menurut pengasas The Sumbs, Mohd Hidayat Abdul Latiff, kafe diusahakan bersama rakannya, Mohd Amiruddin Othman mempunyai nilai eksklusif membabit–kan rasa mahupun kaedah hida–ngan berkenaan.

“Keistimewaan kami ialah setiap menu ditampil mahupun dihidang kepada pelanggan adalah resipi serta cetusan rasa chef panel atau chef tetap di kafe kami.

“Justeru baik makanan bercirikan ‘Asia’ mahupun hida–ngan Barat, lebih 40 menu diubah suai mengikut citarasa kru kafe ini di samping kesesuaian tunas rasa penggemar makanan tempatan.

“Berbanding penyediaan menu di tempat lain, resipi setiap hidangan yang kami tawarkan lebih ‘authentic’ kerana elemen ‘fusion’ diterapkan pada setiap menu.

“Antara menu mendapat komen serta reaksi positif ialah Nasi Goreng Sambal Scallop Ala The Sumbs iaitu satu daripada hidangan ‘signature’ kami. Selain itu, kudapan goreng tradisi popular iaitu popia di‘rojakkan’ bersama elemen Barat menerusi keju serta daging sebagai inti,” katanya.

Manisan juga antara tarikan kafe terbabit apabila turut berkolaborasi dengan juara pertama Masterchef Selebriti Malaysia, Datuk Dr Fazley Yaakob.

“Kami turut bekerjasama dengan Dr Fazley menerusi seleksi menu pencuci mulut disediakan beliau. Selain itu kami mempunyai ‘signature’ pencuci mulut tersendiri dengan pilihan Sumbs Churros Sundae serta Fruitty Panna Cotta bukan saja diminati kanak-kanak tapi juga pengunjung dewasa,” katanya.

Mengenai penggunaan kotak menggantikan pinggan, Hidayat berkata, alternatif itu dianggap unik dalam membantu memastikan kualiti kebersihan dalam penyediaan hidangan di kedainya.

“Ada dua saiz kotak kami guna dalam setiap menu. Ramai pengunjung tertarik dengan penyediaan kami kerana mereka tidak pernah temui sebarang kafe mengamalkan cara itu.

“Bagi kami, itu jauh lebih baik dalam memastikan pengendalian makanan lebih bersih selain pelanggan boleh ‘membungkus’ makanan andai saiz hidangan terlalu besar bagi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:02 AM