PEMAIN skuad Projek FAM-MSN mengasak benteng Kuching City FC pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), semalam. FOTO Ihsan Kuching City FC,
PEMAIN skuad Projek FAM-MSN mengasak benteng Kuching City FC pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), semalam. FOTO Ihsan Kuching City FC,
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim optimis skuad bimbingannya mampu layak ke saingan Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 2-0 pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), semalam.

Beliau yang ditemui berkata, kemenangan ke atas Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Jumaat ini amat penting bagi menempah slot ke piala berprestij itu namun agak risau tatkala bakal berdepan kesukaran memandangkan skuad kendalian Badrul Afzan berazam untuk menamatkan saingan liga di kelompok tiga teratas.

Pada perlawanan itu, Joseph Kalang Tie berjaya merobek gawang skuad Projek FAM-MSN pada minit ke-12 sebelum jaringan Michael Ijiezie pada minit ke-48 mengesahkan kemenangan Kuching City FC untuk melonjak ke tangga ketujuh liga.

"Secara rasminya belum lagi layak ke saingan Piala Malaysia tapi peluang masih ada dan kemenangan ke atas skuad Projek FAM-MSN hari ini (semalam) amat penting kerana saya sudah memberitahu kepada pemain supaya tidak ambil mudah dan mereka beraksi dengan konsisten untuk menang.

"Kita ada baki tiga lagi perlawanan dan aksi menentang TFC II, Jumaat ini amat penting dan ia perlawanan yang saya anggap sukar kerana pasukan lawan begitu mengidam untuk tamatkan saingan liga di kelompok tiga teratas dan kami tidak boleh bersikap sambil lewa.

"Saya akui penundaan aksi menentang Kelantan United yang sepatutnya berlangsung, Sabtu lalu beri kesan yang baik buat pemain apabila mereka dapat rehat yang cukup selepas beraksi dengan jadual yang padat iaitu selang dua hari," kata Irfan Bakti.

Irfan mengakui perebutan slot ke saingan Piala Malaysia masih terbuka memandangkan perebutan membabitkan tiga lagi pasukan iaitu PDRM FC, Kelantan FC dan Kelantan United untuk mengisi tiga slot seterusnya mengiringi Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC ke saingan piala berprestij yang bakal bermula hujung bulan ini.

Sementara itu, pengendali skuad Projek FAM-MSN, Yusri Chel Lah merumuskan prestasi barisan pemainnya sepanjang saingan liga tampak ada peningkatan walaupun pada awal musim pemain yang sedia ada bergelut untuk menandingi pasukan lawan yang lebih pengalaman.

Katanya selepas sembilan minggu ketika saingan liga berehat memberi peluang kepada pemain untuk memahami corak permainan dan taktikal yang diterapkan walaupun tidak mendapat keputusan yang baik tapi mereka mula bermain dengan lebih tersusun.

"Sekarang baru ada pattern of play yang ditunjukkan oleh barisan pemain muda ini tapi saya akui kami kekurangan pemain yang mampu galas tugas bersaing di liga kompetitif kerana kualiti pemain yang ada daripada 30 pemain saya tidak dapat membariskan pemain yang terbaik.

"Saya hanya ada 12 hingga 14 pemain sahaja kerana ada pemain mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi pada perlawanan itu. Sekiranya pasukan ini diberi peluang pada musim depan saya yakin mereka mampu bersaing dengan ada penambahbaikan dalam pasukan itu," kata Yusri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:01 PM