Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka diumumkan lewat seminggu dari jangkaan asal iaitu pada 26 November depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusuf berkata, kelewatan itu berikutan murid tahun enam yang perlu menduduki peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Tamil yang mengalami kebocoran soalan.

Menurutnya, kelewatan itu tidak akan menjejaskan proses sesi persekolahan akan datang yang akan bermula awal tahun depan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Convent, Seremban 2, di sini, melihat proses peperiksaan semula murid tahun enam yang menduduki semula kertas peperiksaan Matematik dan Bahasa Tamil, hari ini.

Selain itu, beliau turut melawat empat lagi sekolah di sekitar daerah Seremban dan beliau memberitahu berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan berkenaan.

Seramai 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Oktober 2014 @ 1:48 PM