Ramzuzaman hiba melihat mayat mangsa bot karam
Ramzuzaman hiba melihat mayat mangsa bot karam
Oleh Nurul Huda Kosnon


Hutan Melintang: "Hiba hingga hampir menitiskan air mata," kata Ketua Bot Kilat 11, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Ramzuzaman Abu Hassan yang turut mengangkat mayat mangsa bot karam dipercayai warga Indonesia di Jeti Hutan Melintang, Perak, petang tadi.

Katanya, ini pengalaman pertama selepas lebih tiga tahun bekerja apabila menyaksikan mayat dalam jumlah yang banyak.

"Saya lihat ada mayat dalam keadaan cukup menyedihkan. Perut sebahagian mayat ada yang kembung sebab mungkin dimasuki air.

"Ia amat menyayat hati. Mayat mangsa kemudian dibalut dengan kain putih sebelum dihantar ke hospital untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Harian Metro selepas selesai operasi mencari dan menyelamat di jeti Hutan Melintang, petang tadi.

Menurutnya, 14 mayat yang ditemui belum berbau dan ditemui dalam keadaan masih sempurna.

"Sementara itu, Tinjauan Harian Metro mendapati jeti berkenaan dipenuhi penduduk sekitar Hutan Melintang, wartawan dan pegawai serta anggota keselamatan untuk mengetahui perkembangan tragedi bot karam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 9:58 PM