Hutan Melintang: Libasan angin selatan atau Saipak (dialek Hokkien) disifatkan nelayan tempatan sebagai angin pembunuh dipercayai antara punca tragedi bot karam di barat daya Tanjung Sauh dekat Sabak Bernam, kelmarin.

Saipak yang datang secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda jelas amat digeruni nelayan kerana mampu mengakibatkan sesebuah bot melambung.

Nelayan, Suhardi Osman, 61, berkata, angin pembunuh itu pernah menyebabkan lima bot di Sungai Burung, tenggelam.

“Mujur dalam kejadian itu, semua rakan saya terselamat. Saipak datang secara tiba-tiba walaupun cuaca baik.

“Nelayan pasti akan mengemudi bot mencari jalan pulang ke jeti atau laluan lain untuk mengelak angin itu sebab kesannya dahsyat sehingga terpaksa merangkak dalam bot,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun di laut.

Dia yang berasal dari Simpang Empat, di sini, berkata, angin Saipak biasanya berlaku antara Ogos hingga hujung tahun.

Sementara itu, rakannya Dullah Ibrahim, 57, berkata, kebiasaannya nelayan yang berpengalaman mampu meramal ribut, namun Saipak sukar dijangka.

“Saya pernah merasai libasan angin Saipak sehingga tercampak ke laut. Walaupun itu asam garam dan risiko yang perlu dihadapi sebagai nelayan, angin itu sangat kami takut,” katanya.

Menurutnya, bagi nelayan Hutan Melintang, apabila berdepan Saipak, mereka cuba mengubah haluan ke arah lain seperti ke Bagan Datoh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:31 AM