SPIDER masih bergelut siapkan album terbaru.
SPIDER masih bergelut siapkan album terbaru.
Oleh Michelle Gun


Berikutan banyak halangan dan kesibukan anggotanya, kumpulan Spider sehingga kini masih belum menyiapkan album terbaru mereka.

Penyanyinya, Tam ketika ditemui baru-baru ini berkata, masalah itu menyebabkan proses menghasilkan album tergendala sejak tiga tahun lalu.

“Bukan tiada perkembangan tetapi kami sukar mencari masa lapang kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan hal rumah tangga,” katanya.

Bagi menyiapkan album itu, Tam bersama Tony (bass), Hanafi (gitar) dan Ayie (dram) bercuti di sebuah resort di Pahang selama empat hari untuk menyiapkan semua lagu.

“Semua anggota menyumbang idea untuk menghasilkan lagu dan kini hanya tinggal sebuah lagu untuk disiapkan,” katanya.

Menurutnya, album itu akan memuatkan 10 lagu dan konsep lagu Spider masih sama seperti sebelum ini.

“Cuma kali ini, lagu dalam album baru me­ngetengahkan gitar dan tiada trumpet. Spider masih mengekalkan gaya asal biarpun sudah lima tahun tidak mengeluarkan produk baru.

“Kami berharap album ini dapat selesai secepat mungkin dan peminat dapat menerima karya baru berkenaan,” katanya.

Kerjasama dengan penyanyi Filipina

Berkongsi perkembangan terbaru karier solonya, Tam menghasilkan single pertama protege Mentor Legend, Sandra berjudul Hey! Kau.

Single itu berjaya menduduki carta di stesen radio selepas diperkenalkan kepada pendengar pada Jun lalu.

Selain berkolaborasi dengan artis tanah air, Tam turut menerima permintaan daripada penyanyi wanita dari Filipina untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, single berjudul Berhenti Menantimu itu akan dikeluarkan di Malaysia dan liriknya nukilan Yuka Kharisma.

“Hasrat penyanyi itu disampaikan pihak Luncai Emas yang meminta saya mencipta lagu Melayu untuknya,” katanya.

Bagaimanapun, Tam menganggap kolaborasi itu agak mencabar kerana bimbang penyanyi terbabit berdepan kesukaran menyebut perkataan bahasa Melayu dengan betul.

“Namun, menerusi rakaman video, saya terkejut dia boleh menyanyi lagu Melayu dengan baik. Malah, dia turut memberitahu amat menggemari lagu Melayu dan meminati beberapa artis Malaysia,” katanya.

Tam berkata, penyanyi itu datang ke negara ini untuk bertemu dengannya pada Mac lalu, sekali gus menyiapkan rakaman lagu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 12:00 PM