DAYANG Nurfaizah cipta rekod mentor pertama melangkah ke separuh akhir Muzik Muzik 30 bersama dua bekas protege.
DAYANG Nurfaizah cipta rekod mentor pertama melangkah ke separuh akhir Muzik Muzik 30 bersama dua bekas protege.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Penyanyi bersuara lunak, Dayang Nurfaizah, 34, mencipta rekod tersendiri apabila menjadi mentor pertama yang melangkah ke separuh akhir Muzik Muzik 30 bersama dua bekas protegenya, Azmil dan Sandra.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty mengakui bangga dengan pencapaian diraih dua anak didiknya itu.

“Kami tak merancang semua ini. Sebagai bekas mentor, saya bangga dengan pencapaian mereka. Pendek kata, segala tunjuk ajar dan nasihat saya selama ini menjadi.

“Saya mahu mereka berjaya dan pergi jauh dalam industri. Dari awal pemilihan lagi saya sudah nampak potensi mereka. Cuma rezeki Sandra setakat top 2 berbanding Azmil yang terpilih ke pentas Mentor Legend,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Di Pintu Syurga ini, dia teruja mahu bertanding dengan Azmil dan Sandra.

“Saya gembira apabila lagu mereka layak ke peringkat separuh akhir. Sebagai penyanyi baru mereka bertuah dapat melepasi peringkat itu.

“Pada peringkat ini mereka perlu menunjukkan kehebatan sebenar. Baik Azmil mahupun Sandra jangan rasa diri tak layak bertanding, sebaliknya buat yang terbaik. Saya juga pernah melakukan perkara sama. Tak ada siapa mahu kalah,” katanya.

Menerusi pertandingan terbabit, Dayang mempertaruhkan lagu Tak Pernah Menyerah ciptaan Akid dan lirik oleh Poji Samad di separuh akhir minggu ketiga pada 6 Di­sember ini.

Sementara itu, Azmil, 23, yang juga juara program Mentor Legend bakal menyanyikan lagu ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Nyawaku pada minggu ketiga.

“Memang tak sangka lagu ini mara ke peringkat separuh akhir. Lagi membuatkan saya terkejut apabila perlu bersaing dengan bekas mentor, Kak Dayang dan Sandra.

“Melihat senarai penyanyi yang bertanding, tidak dinafikan ada tekanan, tetapi saya akan berusaha berikan persembahan terbaik,” katanya.

Memandangkan ia pertandingan membabitkan lagu, Azmil mahu fokus pada persembahan dan vokal.

“Kekuatan lagu ini pada melodinya. Justeru, vokal memainkan peranan penting supaya penonton dapat merasainya. Insya-Allah, kalau ada rezeki lagu ini boleh ke peringkat akhir,” katanya.

Sandra pula menganggap bertanding dengan Dayang dan Azmil sebagai persaingan sihat.

“Rasa gementar itu pasti ada, tetapi lebih kepada per­sembahan. Apatah lagi ini adalah pembabitan pertama saya dalam acara besar.

“Mulanya memang tak percaya tersenarai ke peringkat separuh akhir, tetapi selepas dimaklumkan pihak pe­ngurusan, saya terkedu. Mungkin ini peluang saya membuktikan bakat yang ada,” katanya.

Sebagai orang baru, Sandra tidak mahu meletakkan harapan tinggi. Namun katanya, apa yang boleh dilakukan adalah fokus pada persembahan.

“Saya bawa harapan komposer dan penulis lirik. Jadi, tak boleh bersikap sambil lewa,” katanya.

Sandra yang bakal beraksi pada minggu kedua mempertaruhkan lagu Hey Kau hasil ciptaan komposer ternama, Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran.

Lagu itu diumumkan layak ke peringkat separuh akhir selepas Yuna menarik diri berikutan terikat dengan kerja di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:32 AM