Kuala Lumpur: DagangNet Technologies Sdn Bhd (DagangNet) menjangka 4,000 syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) bakal menggunakan perkhidmatan perdagangan elektroniknya iaitu eMarketplace melalui platform Global Halal Exchange menjelang akhir tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulina Mohammed Salleh berkata, pihaknya berhasrat menyaksikan syarikat terbabit menerokai pasaran global dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang selari dengan pelan jangka panjang syarikat.

“Sebagai pedagang dalam platform ini, kami membantu mereka mempromosi dan menjual produk serta perkhidmatan atas talian masing-masing melalui eMarketplace di samping memiliki akses pasaran lebih luas, perkhidmatan logistik bersepadu dan pelbagai perkhidmatan nilai tambah lain,” katanya pada pelancaran portal Global Halal Exchange dipertingkatkan, di sini, semalam.

Global Halal Exchange terbaru menyaksikan DagangNet memperkenalkan akses terkini eMarketplace iaitu www.globalhalalexchange.com bertujuan menghimpunkan peserta industri halal kerana ia memiliki nilai pasaran sehingga AS$2.3 trilion.

Beliau berkata, penyertaan dalam platform itu akan membolehkan PKS mendapatkan pembekal atau pembeli bagi produk dan perkhidmatan masing-masing di samping bertukar maklumat dengan setiap pihak dalam industri halal.

Menurutnya, eMarketplace Global Halal Exchange membabitkan enam komponen produk dan perkhidmatan iaitu kesejahteraan, telekomunikasi, perkhidmatan, penggembaraan, fesyen dan makanan serta minuman.

“eMarketplace kini boleh diakses melalui platform laman web, aplikasi mudah alih dan televisyen dalam talian iaitu Halal TV dengan syarikat PKS boleh mendapatkan perkhidmatan ini pada harga serendah RM100 setahun,” katanya.

Majlis sama turut menyaksikan DagangNet menandatangani perjanjian perkhidmatan rakan dagang dengan penyedia produk dan perkhidmatan kesihatan serta kesejahteraan iaitu Al Ansar Health dan perjanjian persefahaman dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd.

DagangNet adalah anak syarikat kepada Dagang NeXchange Berhad (DNeX) iaitu penyedia perkhidmatan perdagangan elektronik bagi Kemudahan Dagangan di mana syarikat itu turut meneroka beberapa bidang perniagaan lain termasuk perkhidmatan gas dan minyak, gas dan minyak hiliran serta tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 6:14 AM