ZULINA (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Al Ansar Health, Mohd Bakhtiar Abu Bakar.
ZULINA (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Al Ansar Health, Mohd Bakhtiar Abu Bakar.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Global Halal Exchange (GHX), segmen e-dagang Halal bagi Dagang NeXchange Berhad menjangka mampu mencatat sekurang-kurangnya 10 peratus sumbangan kepada kumpulan dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulina Mohammed Salleh berkata, buat masa ini segmen produk halal hanya menyumbang peratusan kecil namun ia dijangka melonjak khususnya melalui penstrukturan segmen perniagaannya yang dilaksanakan tahun lalu.

“Tahun lalu, kami melaksanakan pembahagian segmen perniagaan kepada lapan sektor iaitu makanan dan minuman, kosmetik, kewangan Islam, logistik, media dan rekreasi, farmaseutikal dan fesyen.

“Malah, kami menjangka mampu melengkapkan senarai rakan niaga untuk semua segmen dalam tempoh dua tahun,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Al-Ansar Health Sdn Bhd di sini, semalam.

Al Ansar Health, syarikat tempatan yang mengkhususkan penjualan produk kesihatan alternatif adalah rakan niaga pertama diletakkan di bawah segmen farmaseutikal.

Melalui MoU berkenaan, GHX berfungsi sebagai platform ePasaran kepada Al Ansar Health bagi tujuan promosi dan jualan secara dalam talian yang menghubungkan Al Ansar Health kepada pasaran lebih luas di peringkat domestik serta global. GHX akan menyediakan akses kepada pasaran Muslim yang bernilai AS$2.5 trilion.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Al Ansar Health, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, kerjasama yang dijalin dengan GHX dijangka mampu melonjakkan jualan produknya.

“Kami yakin kerjasama kedua-dua pihak akan membantu kami mencapai sasaran peningkatan jualan sehingga 20 peratus kepada RM13 juta pada akhir tahun ini.

“Malah, kami juga meletakkan sasaran penambahan keahlian kepada 10,000 ahli berdaftar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:16 AM