Kuala Lumpur: Schlumberger Asia Support Sdn Bhd (Schlumberger), penyedia perkhidmatan berkaitan industri minyak dan gas terbesar dunia menyeru syarikat tempatan terutama Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang terbabit dalam industri itu supaya meningkatkan kecekapan dan kualiti dalam produk serta perkhidmatan masing-masing memandangkan harga minyak kini tidak memberangsangkan.

Naib Presiden Asia Perkhidmatan Perkongsiannya, Azhar Abdullah berkata harga terkini bahan api itu kini mengurangkan pendapatan kebanyakan syarikat kepada separuh daripada yang diperolehi sebelum ini dan kecekapan haruslah berubah berdasarkan situasi terbabit.

“Selain itu kualiti adalah satu lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian memandangkan mereka harus bersaing dengan syarikat lain untuk mencatatkan prestasi terbaik dalam pasaran global bersepadu,” katanya pada Program Penyumberan Global: Peluang Perniagaan Bersama Schlumberger di sini, semalam.

Program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu bertujuan memberi peluang kepada syarikat PKS tempatan yang terbabit dalam sektor minyak dan gas untuk mempromosikan tawaran produk dan perkhidmatan masing-masing bagi menyertai rangkaian pembekalan Schlumberger.

Ia dianjurkan buat kali kedua pada tahun ini selepas penganjuran pertama pada 2013 yang menyaksikan dua syarikat Malaysia berjaya menyertai rangkaian bekalan Schlumberger iaitu Maser Chemical Bhd dan OMS Oilfield Services Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata beliau percaya program terbabit mampu membantu syarikat PKS meneroka peluang perniagaan baru di mana ia adalah platform terbaik bagi berhubung dengan Schlumberger untuk memenuhi keperluan globalnya.

Menurutnya, industri minyak dan gas pada masa ini berada pada tahap mencabar berikutan harga minyak tidak menentu dan mereka perlu melihat semula struktur kos dan model perniagaan untuk terus bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:16 PM