Kabul: Taliban semalam mengaku merahsiakan kematian pemimpin mereka Mullah Omar selama dua tahun.

Kumpulan itu berkata, mereka mahu merahsiakannya sehingga tentera asing menamatkan pertempuran dengan militan berkenaan.

Taliban mengesahkan Julai lalu Omar meninggal dunia tanpa memberitahu bila, sekali gus memburukkan perpecahan dalaman dengan ramai anggotanya menuduh pucuk kepemimpinan mengelirukan mereka dengan mengeluarkan surat atas nama Omar.

Pengakuan itu terkandung dalam biografi mengenai ketua baru kumpulan itu Mullah Akhtar Mansour.

Menerusi laman web Taliban, biografi yang ditulis dalam lima bahasa itu mengaku Omar meninggal dunia pada April 2013, seperti yang didakwa oleh agensi perisikan Afghanistan sebelum ini.

“Beberapa anggota penting majlis Emiriah Islam (Taliban) dan ulama memutuskan untuk merahsiakan kematian Omar.

“Antara alasan penting kematian itu dirahsiakan ialah 2013 dianggap tahun terakhir ujian kekuatan antara mujahidin dengan tentera asing yang mengumumkan semua operasi ketenteraan mereka akan berakhir pada penghujung 2014,” menurut kandungan dalam biografi itu.

Pelantikan Mansour selaku pengganti Omar memburukkan krisis dalaman ketika Negara Islam (IS) juga mula mengembangkan pengaruhnya di negara itu.

Beberapa pemimpin kanan, termasuk anak dan adik Omar enggan mengiktirafnya dengan alasan pelantikan Mansour dibuat secara tergesa-gesa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:08 AM