AKHTAR
AKHTAR
Agensi

Kabul/Washington: Ketua Taliban, Mullah Akhtar Mansour terbunuh dalam satu serangan udara tentera Amerika Syarikat di kawasan pedalaman sempadan Pakistan, menurut pihak berkuasa Afghanistan semalam.

Kematian Akhtar dan serangan yang dilancarkan itu sudah pasti menjejaskan semua kemungkinan perjanjian damai.

Ia juga akan mencetuskan perebutan untuk mencari penggantinya di samping memburukkan lagi perpecahan kumpulan itu.

Pengasas Taliban Mullah Mohammad Omar mati pada 2014, tetapi hanya disahkan tahun lalu.

Serangan yang dilancarkan Sabtu lalu yang menurut pegawai Amerika Syarikat diluluskan oleh Presiden Barack Obama membabitkan beberapa dron, sekali gus membuktikan kesediaan Washington untuk memburu pemimpin Taliban di Pakistan.

Amerika Syarikat sehingga semalam masih belum mengesahkan kematian Akhtar, tetapi Ketua Eksekutif kerajaan Afghanistan, Abdullah dan agensi perisikan negara itu berkata, pemimpin Taliban itu terbunuh.

“Pemimpin Taliban Akhtar Mansour terbunuh dalam serangan dron. Keretanya diserang di Dahl Bandin,” kata Abdullah dalam Twitternya, merujuk kepada satu daerah di wilayah Baluchistan, Pakistan, tidak jauh dari sempadan Afghanistan.

Seorang pegawai Taliban, Mullah Abdul Rauf, yang baru-baru ini berbaik semula dengan Akhtar selepas membantah pemilihannya sebagai ketua Taliban memberitahu Associated Press Akhtar terbunuh lewat Jumaat lalu di sempadan Pakistan-Afghanistan.

Bagaimanapun, dua pegawai lain yang rapat dengan Akhtar menafikan dia terbunuh.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat berkata, tentera negaranya melakukan serangan udara yang menyasarkan Akhtar di kawasan pedalaman sempadan Afghanistan-Pakistan.

“Akhtar ancaman berterusan kepada pegawai Amerika dan Afghanistan,” kata Kerry pada sidang akhbar di Myanmar.

Bagaimanapun, dua pegawai kanan yang rapat dengan Akhtar menafikan dia terbunuh.

Dengan laporan mengenai kematiannya, tumpuan kini ialah terhadap timbalannya, Sirajuddin Haqqani, yang terkenal dan didakwa bertanggungjawab terhadap kebanyakan serangan besar-besaran di Kabul.

Sirajuddin yang dilantik orang nombor dua selepas Akhtar menguasai Taliban tahun lalu secara amnya menentang rundingan damai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 9:18 AM