Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lebih daripada 6,000 responden memilih jenama kegemaran mereka dalam kaji selidik yang merangkumi 24 kategori bagi diiktiraf dalam Anugerah Jenama Putra.

Anugerah Jenama Putra 2015 diberikan kepada jenama yang menjadi contoh terbaik dalam penghasilan produk berinovasi secara berterusan dengan komitmen terhadap pembinaan jenama melalui komunikasi pemasaran dan menunjukkan semangat kuat dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat.

Presiden Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Datuk Johnny Mun berkata, jenama yang kukuh sentiasa menunjukkan nilai sebenar mereka dan disahkan oleh keyakinan pengguna dalam apa jua suasana ekonomi.

“Jenama yang menunaikan janji jenama mereka dan meraih kepercayaan pengguna bukan saja mampu bertahan, malah berkembang kukuh dan bertambah keuntungan,” katanya.

Maybank memenangi anugerah emas dalam kategori Perbankan, Pelaburan dan Insurans, iaitu anugerah kali keenam berturut-turut buat perbankan gergasi itu. Anugerah emas turut diberikan kepada CIMB dalam kategori sama.

Secara keseluruhannya, 41 anugerah emas, 45 perak dan 40 gangsa serta lima anugerah khas disampaikan pada majlis Anugerah Jenama Putra edisi keenam.

Pemenang utama anugerah emas termasuk Poh Kong, Shell, Carlsberg, Milo, Celcom, Maxis, Gardenia, Taylor’s University, Vitagen, Dettol, Spritzer, Samsung, KFC, Panasonic, Heineken dan IKEA.

Enam jenama baru yang memenangi anugerah emas empat tahun berturut-turut adalah Toyota, Shell, Heineken, Milo, Panasonic dan Samsung.

Anugerah khas lain diberikan kepada Sen Heng untuk Jenama Putra Paling Berdaya Saing Tahun Ini, pasukan pemasaran Gardenia untuk Pemasar Putra Malaysia 2015 dan pengasas Pensonic, Datuk Seri Chew Weng Khak untuk Personaliti Putra.

Pengerusi Penganjur, Andrew Lee berkata, banyak jenama hari ini berusaha membina hubungan bermakna bersama pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 6:14 AM