AHMAD Zaini dan Farrah Naz bergambar bersama Anugerah Utama Putra Aria Brands 2022 bagi kategori Rangkaian Media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
AHMAD Zaini dan Farrah Naz bergambar bersama Anugerah Utama Putra Aria Brands 2022 bagi kategori Rangkaian Media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Farah Marshita Abdul Patah


Petaling Jaya: Kumpulan Media Prima -The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengungguli Anugerah Putra Aria Brands 2022 bagi kategori Rangkaian Media.

BH dan NST, masing-masing merangkul Anugerah Emas, bagi kategori Rangkaian Media.

Hadir menerima anugerah itu adalah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim.

Ahmad Zaini berkata, Anugerah Putra Aria Brands membuktikan jenama BH dan NST mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan pembaca.

"Anugerah ini akan menjadi satu pendorong kepada kita untuk bergerak lebih maju bagi membina jenama yang menjadi pilihan rakyat Malaysia," katanya.

Anugerah Putra Aria Brands diperkenalkan buat pertama kali pada tahun ini.

Sementara, Pengerusi Anugerah Putra Brand Awards,Datuk Johny Mun berkata anugerah berkenaan adalah bagi menggalakkan syarikat melabur dalam jenama sendiri bagi mengekalkan mereka di dalam minda pengguna, di samping memenuhi kehendak industri.

"Idea untuk anugerah sulung ini lahir daripada rasa hormat dan untuk menghargai pembina jenama serta agensi yang membantu membangun industri," katanya.

Anugerah Putra Aria Brands ialah inisiatif Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.

Anugerah pada Putra Aria Brands dikenal pasti mengikut pilihan pengguna dan acara ini mendapat pengesahan daripada MATRADE.

Ia adalah satu-satunya anugerah dari pilihan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:38 PM