Abdul Jalil (tengah) meraikan wartawan dan jurugambar Kumpulan NSTP yang memenangi Anugerah Kewartawanan Shell-Kinabalu 2016, malam tadi. FOTO Malai Rosmah Tuah
Abdul Jalil (tengah) meraikan wartawan dan jurugambar Kumpulan NSTP yang memenangi Anugerah Kewartawanan Shell-Kinabalu 2016, malam tadi. FOTO Malai Rosmah Tuah
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) memenangi 17 hadiah termasuk lima hadiah utama pada Anugerah Kewartawanan Shell - Kinabalu, malam tadi.

Wartawan Harian Metro Mohd Razlan Salleh dan Junaidi Ladjana mendapat merit Anugerah Kewartawanan Bahasa Melayu.

Selain itu Junaidi dan Norasikin Daineh masing-masing mendapat merit menerusi kategori Kewartawanan Bahasa Melayu, Laporan Berita dan Ekonomi.

BH memenangi empat hadiah utama menerusi empat kategori Bahasa Melayu iaitu Laporan Berita, Ekonomi dan Alam Sekitar serta Laporan Berita untuk Stringer.

Wartawan New Straits Times (NST) turut memenangi hadiah utama kategori Bahasa Inggeris menerusi Anugerah Laporan Alam Sekitar.

Hadiah utama Anugerah Kewartawanan disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman manakala hadiah utana kategori lain disampaikan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, Penasihat Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden SJA, Francis Fahir.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya gembira kerana media di Sabah amat bertanggungjawab dalam mengetengahkan berita yang signifikan dan penting selain melaporkan keperluan dan rungutan rakyat.

"Media pada masa kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan mereka adalah tepat dan terperinci.

"Saya gembira kerana media di Sabah amat bertanggungjawab dalam menulis mengenai pembangunan, kemajuan sosio-ekonomi dan masyarakat amat bergantung kepada anda (media) untuk laporan yang benar dan tepat," katanya.

Mengenai penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu SHELL, Musa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur anugerah berkenaan.

"Inilah hasil kerjasama kukuh antara kerajaan negeri, Shell Malaysia dan Persatuan Wartawan Sabah dalam mempromosi acara ini.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 12:47 AM