BERNAMA

Kuala Lumpur: Nestlé (Malaysia) Bhd mencatatkan peningkatan jualan sekali ganda menerusi portal e-dagang Shopee Malaysia dalam tempoh setahun usaha samanya dengan pasaran dalam talian itu.

Pada Mac 2017, Nestlé menyertai Shopee Malaysia sebagai strategi peluasan berterusannya dalam ruang e-dagang, yang membolehkan kumpulan nutrisi, kesihatan dan kesejahteraan itu menembusi segmen baharu pengguna dan membangunkan pangkalan asas pembeli setia dalam talian.

Ketua e-dagang dan Nescafé Dolce Gusto, Nestle Malaysia, Joshua Zhu berkata, pihaknya bangga menjadi antara syarikat awal yang mengguna pakai e-dagang dalam kalangan penggiat makanan dan minuman di Malaysia.

“Pendekatan peniagaan kami yang progresif adalah demonstrasi pandangan kehadapan dan fleksibiliti kami dalam mengapliksikan teknologi bagi merealisasikan kehidupan yang lebih sihat dan bahagia dalam kalangan individu dan keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dengan menyertai semua kempen Shopee, Nestlé dapat mencapai segmen pengguna baharu dan membangunkan asas pembeli dalam talian yang setia.

Sehingga kini, Nestlé mempunyai lebih daripada 700 produk unik yang ditawarkan menerusi platform e-dagang, termasuk Milo, Maggi, Nescafe dan Lactogrow yang memenuhi keperluan pengguna setiap kumpulan umur.

Prestasi kukuh itu berjaya menempatkan Nestlé pada kedudukan teratas dalam kategori runcit di Shopee, yang membawa kepada kemenangan kumpulan itu sebagai Penjual Terbaik Tahunan pada Anugerah Penjual Shopee 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 9:46 AM