PEMILIHAN kerusi pula yang paling perlu diberi perhatian.
PEMILIHAN kerusi pula yang paling perlu diberi perhatian.
SESUAI dengan konsep pilihan supaya tema kelihatan sedondon dan selari.
SESUAI dengan konsep pilihan supaya tema kelihatan sedondon dan selari.

Salam deko! Suasana kehidupan serba moden berlatarkan hiruk-pikuk metropolitan seakan-akan sebati dalam kalangan kita.

Kerja pejabat yang banyak membuatkan masa dihabiskan di pejabat berbanding bersama keluarga di rumah. Malah, anda yang tinggal berjauhan dengan tempat kerja, banyak masa dihabiskan untuk berulang alik dari pejabat ke rumah.

Lebih teruk apabila sering menempuh kesesakan jalan raya. Lantas, ramai mengambil inisiatif menyediakan ruang bagi ‘menjelmakan’ suasana pejabat di rumah. Ini membolehkan anda membawa pulang kerja pejabat di rumah.

Kediaman mempunyai bilangan bilik yang banyak satu kelebihan apabila ia boleh dijadikan ruang pejabat. Namun, jika bilangan bilik agak terhad, salah satu sudut atau ruang sesuai boleh dipilih untuk dijadikan ruang pejabat mini.

Bagi mencipta suasana pejabat di rumah, beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan ruang pejabat memberi manfaat bukannya tersadai begitu saja.

Jika anda mempunyai bilik yang mahu ‘dijelmakan’ sebagai pejabat mini di rumah, perhatikan bilangan plug elektrik. Selalunya ruang pejabat di rumah memerlukan lebih tiga plug elektrik. Ini kerana penggunaan pelbagai peralatan termasuk komputer, mesin pencetak, lampu bacaan, kipas dan pendingin hawa.

Kedua, pastikan posisi perabot pada kedudukan yang sesuai. Lebih baik meja pejabat diletak berhampiran ruang tingkap atau ruang tingkap berada pada pandangan mata anda apabila duduk di meja itu. Mengikut fakta terapi, tenaga bekerja terjana lebih baik apabila duduk berhampiran tingkap. Suasana di luar kediaman boleh meredakan sedikit stres apabila berjam lamanya anda menghadap komputer.

Pemilihan warna buat ruang pejabat di rumah amat dititikberatkan. Perlu diingatkan bahawa bukan semua warna bersesuaian untuk melatari ruang itu. Lebih selamat warna seperti putih, kelabu dan krim berserta sedikit hitam sudah cukup memberi kekuatan buat ruang berkenaan. Jika anda lebih berani penggunaan warna kuning, jingga dan sedikit merah masih relevan dalam menata hias ruang pejabat ini.

Elak latar ruang dengan warna sejuk dan gelap termasuk seperti biru tua, hijau tua dan unggu gelap kerana warna-warna ini memberi mood relaks yang kuat dan kurang tenaga. Jadi jika anda menggunakan warna-warna tadi buat bilik pejabat anda, sudah pasti dalam beberapa minit berada di situ anda sudah mula menguap dan mengantuk.

Kemudian penataan cahaya juga memainkan peranan penting buat ruang pejabat di rumah. Lebih baik mempunyai dua jenis pencahayaan, satu dari warna terang dan satu dari warna malap. Cahaya terang diperlukan saat anda membaca, meneliti atau kertas-kertas kerja. Cahaya malap pula sesuai ketika anda berehat sebentar atau untuk merehatkan minda dan mata sebelum kembali menyambung kerja.

Seterusnya pemilihan perabot harus diberi perhatian. Meja pejabat harus sesuai dengan jenis tugasan anda dan dapat menampung segala keperluan serta peralatan di atas meja. Jangan membeli meja yang terlalu besar jika hanya ingin meletak komputer riba.

Elak membeli meja kecil jika mempunyai banyak peralatan untuk diletak di atasnya. Jika bilik itu luas, anda boleh meletak dua meja, satu untuk menulis dan membaca, sebuah lagi meletak peralatan komputer.

Jika dua meja bukan pilihan anda, meja dari bentuk bersudut L boleh menjadi alternatif. Meja juga terdapat dari jenis plastik, kayu atau kaca. Jadi sesuaikan dengan konsep pilihan supaya tema kelihatan sedondon dan selari. Jika anda ingin menghasilkan cetusan korporat dan klasik, meja kayu adalah pilihan terbaik. Bgai konsep ringkas, urban dan moden, meja besi, plastik dan kaca antara yang sesuai.

Pemilihan kerusi pula yang paling perlu diberi perhatian. Pastikan ia bersesuaian dengan ketinggian anda dan tempat duduk yang lembut serta rekaan yang menjamin keselesaan antara pilihan terbaik. Dapatkan kerusi pejabat dari jenis boleh laras bagi membolehkan anda untuk menentukan posisi rehat yang sesuai.

Huraian lanjut mengenai pejabat dalam rumah pada minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:02 AM