Yusliza Yakimir Abd Talib


Fabrik memainkan peranan penting dalam pemilihan pakaian wanita lebih-lebih lagi jika ingin digayakan di negara yang bercuaca panas seperti Malaysia.

Walaupun ada sesetengah fabrik yang digunakan untuk pakaian wanita menjadi ikutan masa kini, bukan semuanya sesuai dipakai setiap golongan.

Cuba lari daripada kebiasaan dan mengambil kira semua segi, Butik Fatheen Sani tampil dengan busana buat wanita yang mementingkan keselesaan dan gaya, tapi masih mengekalkan batas syariat.

Membawa konsep kasual, pemiliknya, Nur Fatheen Syamimie Mohammad Sani berkata, rekaannya dibuat berdasarkan keperluan wanita yang mahu tampil sopan, pada masa sama bebas bergerak walaupun dalam cuaca panas.

Katanya terdapat lima warna bagi setiap rekaan seperti selendang dan sut dua-helai malah rekaan yang cuba ditampilkannya, mempunyai pengaruh besar dalam seni reka dan nafas Islam dengan seleksi warna palet yang tidak terlalu menonjol dan terang, tapi sejuk mata memandang.

“Apabila menyebut mengenai fesyen Muslimah, pasti setiap orang menggambarkan jubah dan baju kurung. Hakikatnya, wanita boleh bergaya dengan pelbagai fesyen terkini asalkan penampilan itu tidak keterlaluan.

“Fabrik untuk selendang ialah sifon kristal, ia bukan sifon biasa yang jarang dan fabrik ini mudah digosok. Banyak maklum balas daripada pelanggan saya yang berpuas hati dengan pilihan fabrik ini.

“Untuk fabrik kardigan abaya, kami memilih como crepe yang lembut dan sesuai untuk cuaca di Malaysia. Sifatnya yang tidak panas dan tidak berat membuat kardigan abaya beralun cantik sekali gus menjadi pilihan yang diminati ramai wanita. Malah sesetengah kaum Adam terjebak dengan trend kardigan abaya ini,” katanya.

Menurutnya, kardigan abaya ialah koleksi pertama butik yang dikeluarkan pada 2015 manakala sut dua-helai dan selendang menjengah pasaran sejak tahun lalu sehingga sekarang,

Mengakui pada mulanya sambutan memang tidak semeriah kini, tetapi dengan segala usaha yang dilakukan, jenama itu bukan mendapat tempat di pasaran tempatan saja, malah turut menerima permintaan dari luar negara seperti Australia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Katanya, menutup aurat dan bersederhana adalah ciri yang diberi keutamaan dalam melahirkan rekaan. Ini kerana katanya, dengan trend terkini agak sukar dapatkan pakaian yang menutup aurat sepenuhnya.

Oleh itu, katanya, rekaan kardigan abaya yang dibuat longgar, memang sesuai bagi wanita yang bertudung.

Selain itu, ringkas dan trendy adalah elemen yang sentiasa dititikberatkan dalam melahirkan rekaan seperti kardigan abaya dan sut dua-helai yang sesuai digayakan semua wanita tidak kira umur, memakai tudung atau tidak boleh menggayakannya.

Beroperasi sepenuhnya secara dalam talian, butik ini menawarkan koleksi mereka dengan harga berpatutan bersesuaian dengan kualiti antara RM20 hingga RM149.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 9:00 AM