Madrid: Lionel Messi masih lagi memburu gelaran selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman di La Liga apabila Barcelona berkunjung ke Almeria awal pagi esok - beberapa hari selepas mencatat rekod sama di Liga Juara-Juara.

Messi menyamai rekod legenda Real Madrid Raul dengan 71 gol pada saingan Liga Juara-Juara dan ia hadir selepas Barca bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk menewaskan Ajax 2-0 untuk ke pusingan kalah mati.

Di La Liga, bintang Argentina itu hanya ketinggalan satu gol berbanding 251 jaringan yang dilakukan Telmo Zarra untuk Athletic Bilbao antara 1940 dan 1955, tetapi dia gagal menjaringkan gol sepanjang dua aksi menentang Real Madrid serta Celta Vigo sebelum ini.

Senario itu serupa dengan apa yang dialami Luis Suarez yang sudah boleh kembali bermain sejak menamatkan penggantungan empat bulan gara-gara menggigit pemain lawan di Piala Dunia.

Bintang Uruguay itu masih gagal menjaringkan gol sepanjang tiga aksi kelab Catalan itu dan persembahannya ketika menentang Ajax juga tidak menjadi apabila gagal meledak jaringan walaupun berada dalam kedudukan satu lawan satu dengan penjaga gol Jasper Cillessen.

Begitupun, pengurus Barca Luis Enrique enggan membesarkan isu itu dan beliau tetap menaruh keyakinan terhadap tiga bintangnya - Messi, Suarez dan Neymar.

“Messi pemain terbaik yang pernah saya saksikan,” kata Enrique.

“Kami mempunyai kekuatan di bahagian serangan. Kami tahu Neymar dan Luis boleh memainkan peranan berbeza dan mampu bertukar posisi pada bila-bila masa.

“Saya suka mempunyai peluang seperti itu. Kami mempunyai pemain yang berada di tahap tertinggi.”

Di benteng pertahanan, Enrique tetap kehilangan Jeremy Mathieu yang cedera dan justeru, Gerard Pique bakal kembali diturunkan selepas tidak beraksi sejak dua perlawanan sebelum ini.

Sementara itu, pendahulu liga, Real Madrid turut beraksi menentang Rayo Vallecano di Santiago Bernabeu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:05 AM