Iskandar Shah Mohamed


TINDAKAN pengawal keselamatan mencuri dompet penumpang wanita di dalam bas Rapid di Shah Alam, Ahad lalu, memakan diri apabila dia akhirnya dicekup polis, awal pagi hari ini.

Kejadian itu tular apabila kamera litar tertutup (CCTV) merakam perbuatan lelaki berusia 30 tahun yang turut berada di dalam bas Rapid Selangor berkenaan.

Klip video itu memaparkan seorang wanita bersama tiga kanak-kanak perempuan duduk di bahagian belakang sebelum mereka turun bersama dari kenderaan awam berkenaan.

Wanita yang turut membawa beg galas itu bagaimanapun tertinggal beg tangan sebelum disedari suspek yang kemudian menyelongkar dan mencuri dompetnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa menaiki bas itu di Seksyen 19 di sini, kira-kira 9 pagi.

“Menyedari beg tangannya tertinggal, dia kemudian kembali bertanyakan kepada pihak syarikat bas, namun mendapati dompetnya sudah tiada.

“Bertindak atas maklumat, kita menahan suspek di rumah di Seksyen 20 pada 1.15 pagi tadi dan turut membawa kepada penemuan barangan milik mangsa.

“Selain dompet, ia antaranya MyKad dan lesen memandu mangsa, tiga MyKid dan lima kad ATM,” katanya ketika dihubungi NSTP di Shah Alam, hari ini.

Kata Baharudin, suspek yang masih bujang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun saringan air kencing ke atasnya didapati negatif bahan haram itu.

“Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, syarikat Rapid yang menguruskan bas Smart Selangor turut mengesahkan kejadian berkenaan.

“Rapid memaklumkan insiden itu berlaku di dalam satu bas laluan 3 (laluan bermula dari kawasan Komuter Bas Seksyen 19) dan melalui kawasan Seksyen 19, 17, 18, 20 dan 24.

“MBSA menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya yang menasihatkan pengguna bas sentiasa memastikan barangan peribadi dijaga dengan baik bagi mengelak berlaku kehilangan atau kecurian seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 11:59 AM