BOMBA berusaha memadamkan kebakaran tongkang bermuatan petrol di Kampung Gas Jalan Batu Sapi, Sandakan. IHSAN JBPM Sabah
BOMBA berusaha memadamkan kebakaran tongkang bermuatan petrol di Kampung Gas Jalan Batu Sapi, Sandakan. IHSAN JBPM Sabah
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Empat lelaki cedera selepas tongkang mereka terbakar berdekatan kawasan penyimpanan minyak di Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, dekat sini, 6 pagi, hari ini.

Tiga daripadanya melecur manakala seorang lagi patah kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

Penolong Kanan Satu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, Devi Rashedee Engsoi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 6.20 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama 14 anggota penyelamat.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian didapati sebuah tongkang mengangkut petrol sedang terbakar.

"Anggota bomba kemudian melakukan pemadaman tiga aliran air dan satu aliran buih. Langkah diambil berikutan kebakaran mula merebak ke kawasan pelabuhan penyimpanan minyak kapal," katanya.

Sehingga ini, katanya, tiada mangsa yang dilaporkan meninggal dunia dan 335 tong berisi minyak petrol berada di atas Ponton masih dapat dikawal.

"Usaha pemadaman sepenuhnya masih dijalankan sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 1:33 PM