Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Tiga sekeluarga terkorban selepas kediaman mereka terbakar di Kampung Baru, Batu 18, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 9.25 malam itu menyaksikan semua mangsa yang belum dikenal pasti identiti rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata, 10 anggota bomba menggunakan dua jentera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.30.

“Apabila tiba, didapati kebakaran membabitkan rumah dengan anggaran keluasan 80 meter persegi dan operasi mengawal api segera dijalankan.

"Rumah berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya. Pemeriksaan lanjut selepas api berjaya dipadamkan mendapati tiga orang rentung dalam rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.

Mohd Razali berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 12:44 AM