(KIRI) TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kerian,Mohd Radzuan Bachik menunjukkan pisau kerambit. Lengan kiri anggota yang cedera. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
(KIRI) TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kerian,Mohd Radzuan Bachik menunjukkan pisau kerambit. Lengan kiri anggota yang cedera. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seorang anggota polis cedera di bahagian belakang lengan kiri akibat dilibas dengan kerambit oleh seorang lelaki yang disyaki penagih dadah dalam kejadian di Ladang Eng Thye, Kuala Kurau, di sini, 3 pagi semalam.

Berikutan kejadian itu mangsa, Koperal Mansur Mohamad Ibrahim, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian cedera ringan dan menerima enam jahitan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, bertindak atas maklumat, mangsa bersama tujuh anggota polis BSJN diketuai Inspektor Hayat Eree melakukan serbuan di sebuah rumah di Ladang Eng Thye, Kuala Kurau.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu, polis berdepan halangan untuk memasuki rumah berkenaan selepas seorang lelaki yang membuka pintu rumah, segera mengunci pintu dan melarikan diri ke bahagian tandas sejurus dimaklumkan kehadiran anggota polis.

"Suspek pertama dipercayai cuba bertindak membuang sesuatu ke dalam lubang tandas itu dan berlaku pergelutan dengan anggota polis dalam usaha menangkapnya.

"Secara tiba-tiba datang seorang lagi suspek kedua dari arah belakang menerpa dan menyerang ke arah mangsa yang cuba membantu tangkapan suspek pertama, dengan cara melibaskan sebilah kerambit sehingga menyebabkan kecederaan di lengan kirinya," katanya pada Sidang Media di sini.

Menurutnya, suspek kedua-duanya berjaya ditangkap oleh anggota bertugas dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 3:18 PM