Omar Bakhtiar Yaacob (tiga kiri) bersama anggotanya menunjukkan senjata api dan dadah yang ditemukan dalam Ops Sangkar 6 Mei lalu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Omar Bakhtiar Yaacob (tiga kiri) bersama anggotanya menunjukkan senjata api dan dadah yang ditemukan dalam Ops Sangkar 6 Mei lalu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEPUCUK pistol jenis Revolver.38 ditemui disembunyikan di atas siling rumah sangkar ikan di Perairan Sungai Gula Kuala Gula, Kuala Kurau, Bagan Serai dalam operasi khas dijalankan sepasukan anggota polis pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam Ops Sangkar jam 10 pagi dan diketuai Inspektor Hayat Eree bersama 20 anggota termasuk Pasukan Polis Marin Wilayah 1, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki yang berada di dalam rumah sangkar ikan itu.

Menurutnya, pemeriksaan pihaknya menemui sebungkus plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 106 gram, berada pada lantai rumah sangkar ikan berkenaan.

"Selain dadah itu pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek berjaya menemui sebungkus plastik kecil luttsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 1 gram berada dalam poket seluar salah seorang suspek.

"Pemeriksaan menyeluruh di atas siling rumah sangkar ikan itu pula menemui satu beg berwarna coklat mengandungi satu bungkusan kain hitam dan didalamnya terdapat sepucuk pistol jenis Revolver.38 bersama tiga butir peluru hidup bertulis .38 Special," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh dan Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kerian, Asisten Superintendan Friedel Nyambong.

Omar berkata, sekitar jam 10.15 pagi hari yang sama, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki yang mencurigakan di tebing sungai berhampiran sangkar berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil semakan pihaknya mendapati kesemua suspek yang berusia 32 hingga 36 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Pihak polis turut menyita dua buah bot fiber lengkap dengan enjin sangkut jenis Mercury 60hp dan Yamaha 60hp, sebuah kereta jenis Mazda,wang tunai RM3,000.

"Jumlah rampasan sebanyak RM51,000 manakala dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,000.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Mei ini," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B,12(2),15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 7:44 PM