FARINA hanya akan beraksi dalam pecut berpasukan di Velodrom Nasional de Saint-Quentin-en-Yvelines.  FOTO/OSMAN ADNAN
FARINA hanya akan beraksi dalam pecut berpasukan di Velodrom Nasional de Saint-Quentin-en-Yvelines. FOTO/OSMAN ADNAN
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek wanita negara, Farina Shawati Mohd Adnan hanya akan beraksi dalam pecut berpasukan siri Kejohanan Piala Dunia Trek di Eropah bermula di Velodrom Nasional de Saint-Quentin-en-Yvelines, esok.

Berikutan itu Farina yang kini menduduki ranking ke-21 dunia mengesahkan  tidak akan beraksi dalam acara keirin dan pecut 200 meter individu wanita kerana memberi laluan kepada pelumba senior Fatehah Mustapa.

"Saya tidak akan bertanding acara keirin kerana John (ketua jurulatih basikal trek kebangsaan, John Beasley) mahu memberi peluang kepada Fatehah untuk mengutip mata sebanyak mungkin beberapa siri Piala Trek Dunia bagi membantunya layak ke Kejohanan Trek Asia 2019 di Uzbekistan (Januari) dan Kejohanan Trek Dunia 2019 di Poland (Februari).  

"Oleh itu, kemungkinan besar saya hanya akan beraksi dalam acara pecut berpasukan bersama Fatehah kecuali kita mendapat satu lagi slot untuk berlumba dalam acara pecut di Piala Trek Dunia nanti.

"Kalau kita dapat satu lagi slot, saya meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod peribadi 11.4 saat dalam acara pecut 200 meter individu wanita di Kejohanan Piala Dunia Trek di Paris hujung minggu ini," katanya. 

Untuk rekod saingan siri Piala Trek Dunia menawarkan pungutan mata kepada pelumba yang berhasrat beraksi di Kejohanan Trek Asia dan Kejohanan Trek Dunia 2019 serta Olimpik Tokyo 2020.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menetapkan tujuh pelumba layak menerusi ranking individu bagi acara pecut individu dan keirin, selepas ditolak lapan negara yang layak menerusi acara pecut berpasukan.

Sebelum ini Farina terpaksa akur gagal layak ke final acara keirin di Sukan Asia 2018 selepas didapati bersalah melakukan hadangan ke atas pelumba Indonesia,  Elga Kharisma Novanda ketika perlumbaan peringkat separuh akhir. 

Untuk rekod, nama Farina mula menonjol selepas dia dan Fatehah Mustapha meraih emas acara pecut berpasukan wanita dengan catata masa 34.671s selepas menewaskan Indonesia pada final di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.    

Bagaimanapun, Farina terpaksa melupakan hasrat untuk bergandingan dengan Fatehah dalam acara pecut berpasukan selepas pelumba dari Dungun, Terengganu itu digugurkan ke Sukan Asia, pada Jun lalu. Berikutan itu Farina akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba basikal muda negara, Anis Amira Risidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 12:56 PM