Azizulhasni tetap tenang walaupun gagal menaiki podium. FOTO NSTP
Azizulhasni tetap tenang walaupun gagal menaiki podium. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang tetap tenang walaupun gagal menaiki podium dalam acara kegemarannya, keirin di Velodrom Antarabangsa Jakarta, semalam.

Bahkan, The Pocketrocketman menjanjikan berita gembira untuk diumumkan selepas Kejohanan Trek Asia di Jakarta, Indonesia berakhir hujung minggu nanti.

"Walaupun saya menamatkan saingan pada kedudukan kelima, saya mempunyai berita gembira selepas perlumbaan berakhir nanti," menurutnya menerusi akaun Instagram miliknya.

Walaupun tidak menjelaskan lebih lanjut, Azizulhasni dijangka akan kembali berada di ranking pertama dunia dalam acara keirin, apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengeluarkan kedudukan terkini selepas kejohanan di Jakarta berakhir pada Ahad.

Dia kini berada di kedudukan kedua dengan 2,445 mata dan kedudukan nombor lima semalam membolehkannya menambah 420 mata, untuk mengumpul 2,865 mata, mengatasi jaguh Australia Matthew Glaetzer yang mengumpul 2500 mata.

Malah Azizulhasni yang akan turun dalam pecut individu esok, turut gembira apabila skuad negara mampu meraih mata yang cukup penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelayakan ke Olimpik Tokyo.

Kejayaan rakan sepasukan, Shah Firdaus meraih perak bakal menambahkan mata kepada Malaysia dalam ranking kelayakan Olimpik bagi acara keirin yang kini berada di tempat ke-13 dengan 1,025 mata.

"Ia persaingan yang sukar dengan Jepun yang mempunyai kelebihan kerana mempunyai tiga pelumba. Saya menurut arahan untuk memisahkan mereka bagi membuka ruang terbaik kepada Malaysia muncul juara.

"Kami mohon maaf gagal menang, namun sekurang-kurangnya Shah Firdaus meraih podium untuk meraih lebih banyak mata individu," jelasnya mengenai aksi final keirin semalam.

Malah pencapaian tempat ketiga dalam pecut berpasukan turut membanggakan kerana kemampuan menaiki podium pada kejohanan peringkat benua menawarkan pungutan mata berganda untuk ranking Olimpik Tokyo.

Harapan untuk menyaksikan persembahan cemerlang skuad elit wanita negara diteruskan tidak kesampaian hari ini, apabila Fatehah Mustapa tewas mengejut kepada pelumba tuan rumah, Chrismonita Dwi Putri di pusingan pertama.

Manakala, Farina Shawati Mohd Adnan tewas kepada jaguh China, Yufang Guo.

Mohd Fadhil Zonis yang meraih gangsa pecut berpasukan bersama Azizulhasni dan Shah Firdaus pula menarik diri daripada acara satu kilometer ujian masa kerana demam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:41 PM