AZIZUL bersama isteri dan dua anaknya di Hotel Sama-Sama KLIA semalam.
AZIZUL bersama isteri dan dua anaknya di Hotel Sama-Sama KLIA semalam.
Azlan Muhammad Zain

Sepang: Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang menaruh harapan penampilan ketiganya di Olimpik Rio mampu merealisasikan impian membawa pulang pingat emas pertama negara.

The Pocketrocket Man menamatkan saingan keirin di Olimpik Beijing pada 2008 pada kedudukan ke-10 disusuli tempat keenam di London empat tahun lalu.

“Saya merasakan inilah masanya kerana dari aspek kematangan dan kemahiran sudah berada pada tahap terbaik.

“Selain penampilan ketiga di Olimpik pada usia 28 tahun, persiapan juga berada pada tahap terbaik. Saya sudah bersedia untuk membawa pulang pingat khususnya emas. Itu harapan tertinggi saya,” katanya selepas majlis anjuran Yayasan Sime Darby (YSD) semalam.

Katanya, kejayaan memenangi gangsa di Kejohanan Trek Dunia beberapa hari lalu menjadikan dirinya bertambah semangat memburu pingat di Rio nanti.

“Permulaan yang bagus (menang di Kejohanan Trek Dunia) kerana tahu kedudukan saya menjelang Rio. Jadi baki 20 minggu ini akan digunakan untuk membuat banyak perkara bagi meningkatkan prestasi,” jelasnya.

Bagaimanapun di sebalik keyakinan tinggi, Azizul tetap berwaspada kerana sedar saingan sengit yang bakal diharungi.

“Sukar untuk meramalkan pelumba pilihan kerana sesetengah pelumba tidak menonjolkan ketika Kejohanan Trek Dunia minggu lalu.

“Contohnya, juara dunia dari Perancis Francois Pervis yang mendominasi pada 2014 dan 2015 tapi dia dilihat tidak begitu menonjol tahun ini. Mungkin ini satu strategi.

“Namun saya tidak fokus kepada individu tertentu kerana ia bersifat subjektif. Jadi saya memberi fokus kepada persembahan dan prestasi sendiri bagi melonjakkan diri ke tahap maksimum apabila bermulanya temasya itu nanti,” tambahnya.

Terdahulu Pengerusi YSD Tun Musa Hitam, selaku penaja utama, mengumumkan secara rasmi Azizul dan Fatehah Mustapa layak ke Olimpik Rio selepas berakhirnya cabaran Kejohanan Trek Dunia yang juga medan terakhir pelumba mengumpul mata.

Menurut kemaskini terbaru laman web Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kelmarin, Azizul mengumpul 792 mata untuk meraih tiket acara keirin manakala Fatehah mengumpul 346 mata untuk beraksi dalam pecut individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:57 AM