MOHAMAD Supian Sapar, 57, membalut kaki isterinya, Normah Ab Majid, di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. FOTO Abdullah Yusof
MOHAMAD Supian Sapar, 57, membalut kaki isterinya, Normah Ab Majid, di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. FOTO Abdullah Yusof

Madinah: Kursus dan program haji yang dilaksanakan Tabung Haji (TH), sebagai persiapan bakal jemaah haji Malaysia ke tanah suci dilihat banyak membantu mereka untuk melaksanakan ibadat itu dengan sempurna.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci, Ramli Ibrahim, berkata usaha yang dilakukan TH seperti Kursus Haji Perdana misalnya, dapat memberi gambaran jelas kepada bakal jemaah haji untuk lebih bersedia melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

“Alhamdulillah, menerusi program-program haji sebanyak 17 siri, termasuk Kursus Perdana Haji, banyak membantu jemaah kita,” katanya kepada pemberita selepas memimpin jemaah haji Malaysia menziarahi Masjid Nabawi di sini.

Kursus Haji Perdana anjuran TH diadakan di seluruh negara pada 1 dan 2 Ogos lepas, selain kursus dan program lain yang diadakan secara berperingkat di tanah air.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia juga dilihat bersedia untuk mengerjakan ibadat itu dan meminta jemaah haji sentiasa berdoa agar diberikan haji yang mabrur.

Sehingga hari ini, seramai 1,440 daripada keseluruhan 11,088 jemaah haji Malaysia sudah tiba di kota suci Madinah dan ditempatkan di Hotel MovenPick, Al-Saha dan Al-Haram.

Jemaah haji Malaysia dijadual ke Makkah secara berperingkat mulai 24 Ogos ini dengan kumpulan terakhir tiba pada 7 Sept.

Pengerusi Muassasah Adilaq, Sheikh Hateem Bali ketika menyambut kumpulan pertama haji Malaysia di Madinah Ahad lepas, mengakui jemaah Malaysia adalah jemaah haji terbaik di dunia.

Beliau berkata mereka (jemaah haji Malaysia) dilihat cukup berpengetahuan dalam melaksanakan ibadah haji, berdisiplin dan bersopan santun.

Sheikh Hateem turut memuji pengurusan pihak Tabung Haji yang berjaya menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan bersistematik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:18 PM