FOTO Azam Aziz
FOTO Azam Aziz

Madinah: Lafaz mulia `Assalamualaika Ya Rasulullah’dengan sendirinya terpancar daripada mulut seseorang Muslim apabila muncul di hadapan makam Rasulullah SAW.

Ini menjadi bukti penghormatan dan kecintaannya kepada insan dan pemimpin agung umat manusia, Nabi Muhammad SAW yang juga kekasih Allah.

Menziarahi makam baginda di Masjid Nabawi di Madinah bukan sebahagian daripada rukun haji, namun ziarah ini memberi kesan besar kepada jiwa pengunjung bagi mengenang serta menginsafi perjuangan besar baginda - pembawa rahmat ke seluruh alam.

“Apabila kita memasuki Madinah, ziarahilah makam Rasulullah, menzahirkan rasa cinta kita kepada Rasul lebih daripada kita mencintai diri sendiri,” kata Pembimbing Ibadat Haji di Tanah Suci, Ramli Ibrahim selepas memimpin jemaah haji Malaysia melakukan ziarah ke Masjid Nabawi, hari ini.

Masjid Nabawi, adalah satu daripada tiga masjid, selain Masjid Makkah, dan Masjid Aqsa yang diberikan ganjaran besar apabila melakukan solat di dalamnya berbanding masjid-masjid lain.

Masjid Nabawi kini boleh menempatkan lebih sejuta jemaah.

Ramli berkata, Rasulullah pernah bersabda: “Janganlah kamu bersusah payah mengadakan perjalanan melainkan ke tiga masjid iaitu Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa”.

Ramli yang bertugas dengan Tabung Haji berkata, jemaah haji disunatkan melakukan solat Tahiyyatul masjid apabila memulakan ziarah mereka di Masjid Nabawi.

“Mulakanlah langkah kanan apabila memasuki masjid, dan perlulah mengikuti adab-adab tertentu apabila melakukan ziarah.

“Apabila menziarahi makan nabi, sampaikanlah salam keluarga kita, sahabat-sahabat kita kepada Rasul, dengan mengucapkan ‘Assalamualaika ya Rasulullah’, salam dari si polan-si polan, kalau ramai, sebut sahaja salam daripada umat-umatmu ya Rasulullah,” katanya.

“Sentiasalah bersalawat, jangan tinggikan suara, diharamkan mohon hajat di Makam Rasul, berdoalah mengadap kiblat, mohon kepada Allah, menjaga sopan dan santun.

“Perbanyakkanlah beribadat, berzikir dan bersolat sunat,” katanya.

Sehingga ini, 1,440 daripada keseluruhan 11,088 jemaah haji Malaysia telah tiba di kota suci Madinah.

Mereka ditempatkan di Hotel MovenPick, Al-Saha dan Al-Haram, yang jaraknya kira-kira 50 meter dari Masjid Nabawi.

Mereka dijadualkan berlepas ke Makkah secara berperingkat mulai 24 Ogos, dengan kumpulan terakhir berlepas pada 7 Sept.

Seorang jemaah haji, Jasni Saidin, 40, berkata beliau amat bersyukur dapat menziarahi makam Rasululullah bagi menyampaikan salam ahli keluarga dan sabahat handai serta dirinya kepada Rasulullah.

“Alhamdulillah, saya dapat menziarahi makam Rasul, makam Syaidina Abu Bakar dan Syaidina Omar.

“Saya berdoa agar keluarga dan sahabat saya juga dapat menziarahi makam Rasul dan para sahabat nabi ini,” kata Jasni yang pertama kali menunaikan haji.

Meor Shahrom Zainuddin, 46, turut melahirkan kesyukurannya: “Alhamdulilllah, saya juga dapat menunaikan solat di Raudhah, kawasan antara rumah Rasulullah dan mimbar masjid nabi, yang disabdakan Nabi bahawa terdapat taman syurga di situ.

(“Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman (raudhah) di antara taman surga.” (HR. Bukhari).

“Saya berdoa, agar ahli keluarga saya, sahabat-sahabat saya, dapat bersolat dan berzikir di Raudhah, menziarahi Makam Nabi, dan dapat bersujud kepada Allah di kota suci Munawarah ini, InsyaAllah,” kata Meor Shahrom. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:32 PM