Lahore: Seorang menteri wilayah Pakistan serta lapan lagi terbunuh selepas letupan bom memusnahkan kediaman menteri berkenaan di wilayah Punjab.

Menurut polis, letupan bom itu ialah serangan nekad yang dilakukan ketika Menteri Dalam Negeri Punjab, Shuja Khanzada, sedang bermesyuarat di rumahnya di Attock, utara wilayah berkenaan.

“Ada antara 20 hingga 30 orang ketika serangan itu. Letupan menyebabkan bumbung runtuh,” kata pegawai penerangan wilayah itu, Shahzad Niaz.

Setakat ini enam mayat sudah dikeluarkan dari runtuhan dan Penasihat Kesihatan wilayah itu, Salman Rafiq, mengesahkan Shuja turut terbunuh.

Satu kumpulan cabang Taliban, Lashkar-e-Islam, mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu sebagai membalas tindakan ketenteraan Pakistan terhadap kumpulan itu.

“Serangan seperti itu akan kami teruskan,” kata jurucakapnya, Saluddin Ayubi.

Namun tidak dapat disahkan Lashkar-e-Islam yang beroperasi di sempadan Pakistan - Afghanistan benar-benar melakukan serangan itu atau hanya mengambil kesempatan mendakwa melakukannya.

Satu lagi kumpulan cabang Taliban, Jamaatul Ahrar, juga mengaku bertanggungjawab. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 5:10 PM